Malam ini skuad helang merah bakal turun dengan misi untuk mencatat kemenangan ke empat sambil mengekalkan rekod bersih tanpa kalah apabila dijadualkan menentang PKNS FC dalam saingan Liga Super di Stadium Darulaman.
Kedah, yang masih segar dengan kemenangan 2-0 ke atas Petaling Jaya FC, Jumaat lalu bakal menurunkan kesebelasan utama yang terbaik yang terdiri daripada 5 pemain import iaitu Renan Alves, Fernando Rodriguez, Jonathan Bauman, Anmar Almubaraki dan Shakir Hamzah.
Kesemua pemain ini sudah pun mempunyai koleksi gol dan pengendali skuad itu, Aidil Shahrin Sahak menuntut anak buahnya mempamerkan aksi terbaik di hadapan ribuan penyokong sendiri.
Katanya dalam Stadium Astro, PKNS juga tidak boleh dipandang mudah selepas skuad kendalian Datuk Rajagobal itu mencatat dua kemenangan berturut-turut.
“Kami menjalani persiapan seperti biasa. PKNS sebuah pasukan yang sangat baik dengan kehadiran dua pemain import dari Argentina serta Kemboja.
“Kami perlu berwaspada dan tidak boleh memberi mereka ruang untuk melancarkan serangan balas.
“Kami perlu berada di tahap 100 peratus untuk menghadapi mereka esok,” kata pengendali dari Singapura itu.
Sama juga seperti Kedah, PKNS FC ketika ini juga telah merekodkan dua ‘cleensheet’ dalam dua perlawanan berturut-turut dan penjaga gol muda, Zarif Irfan yang mula diperkenalkan Rajagobal pada saingan Piala Malaysia 2018 juga semakin mempamerkan kemampuannya.
Jika Semut Merah ingin membuktikan kredibiliti mereka sebagai pencabar kejuaraan liga, perlawanan malam ini adalah masanya.