MSL 2019: Kedah Kembali Raih Kemenangan Hasil Ledakan Bauman, Zaquan Dan Rodriguez

Bauman Rodriguez Kedah

Terengganu FC nampaknya terus gagal mengatasi Kedah dalam 9 pertembungan apabila tumbang 0-3 dalam saingan minggu ke-9 Liga Super Malaysia (MSL) di Stadium Darul Aman, sebentar tadi.

Ifwat Akmal merekodkan cleensheet ke-5, Fernando Rodriguez meledak gol ke-4 dalam 4 perlawanan berturut-turut adalah antara intipati menarik yang berlaku sepanjang perlawanan tersebut.

Kedah kembali mendapat khidmat penjaga gawang utama, Ifwat Akmal dan juga pertahanan kanan, Rizal Ghazali yang kembali daripada penggantungan satu perlawanan, namun masih tiada kelibat Fadzrul Danel yang baharu pulang dari Cardiff City.

Kedah
FOTO: Kedah FA

Walaupun ada perkhabaran Lee Tuck sudah kembali pulih namun masih tidak tersenarai dalam kesebelasan utama Terengganu, begitu juga dengan Thierry Chantha Bin. Tchetche Kipre yang miliki penyudah tumpul terus diletakkan sebagai penyerang utama.

Perlawanan bermula dengan tuan rumah melancarkan beberapa siri serangan ke gawang pelawat yang dikawal oleh kapten Terengganu, Suffian Ab Rahman namun tiada sentuhan penyudah berkesan daripada jentera serangan Kedah.

Babak pertama dikuasai sepenuhnya oleh Kedah dengan aksi hantaran dan asakan yang menarik menerusi kedua-dua sayap kanan dan kiri yang digerakkan Zaquan Adha dan Farhan Roslan.

Terengganu
FOTO: MFL

Terengganu dilihat berjaya didiamkan oleh barisan pemain Kedah yang tampil bernafsu dan garang di Darul Aman pada malam ini.

Minit ke-7, kuisan Jonatan Bauman di hadapan gawang hampir memberikan Helang Merah gol pendahuluan namun tersasar.

Jonatan Bauman memberikan Kedah gol pendahuluan menerusi sepakan penalti yang disempurnakannya pada minit ke-24. Ini juga merupakan gol kedua peribadi buat pemain tersebut selepas kali pertama dan terakhir melakukannya ketika menewaskan PKNP FC.

Terengganu dilihat cuba bangkit selepas ketinggalan namun masih gagal menguji Ifwat Akmal dengan percubaan tepat. Mereka hanya melancarkan serangan sebelum melepaskan percubaan tersasar.

Kesilapan Suffian Ab Rahman yang keluar daripada kawasan golnya memberi ruang buat Zaquan Adha untuk memperdayanya sebelum meledak gol dengan kaki kiri di minit ke-33 – gol kedua peribadi kapten skuad kebangsaan itu dalam saingan liga.

Pelawat tampil sedikit berlainan di awal babak kedua menerusi beberapa asakan berbahaya ke kubu tuan rumah namun penjaga gol, Ifwat Akmal – yang langsung tidak diusik di babak pertama terus kental menafikan beberapa percubaan lawan.

Antara peluang terbaik Terengganu hadir menerusi percubaan jauh oleh pertahanan, Adib Aizuddin pada minit ke-63 namun berjaya ditumbuk keluar oleh penjaga gol berusia 22 tahun itu lagi.

Kedah Terengganu
FOTO: MFL

Walaupun jarang menguji penjaga gol lawan, akhirnya Fernando Rodriguez menemui sentuhan jaringannya untuk membolehkan Helang Merah mendahului perlawanan 3-0 di minit ke-72 – hasil umpanan through pass dari bahagian sayap oleh Farhan Roslan.

Perlawanan akhirnya ditamatkan oleh pengadil perlawanan dengan Kedah berjaya meraih mata penuh pertama selepas 4 perlawanan – kali terakhir Kedah menang adalah pada 22 Februari lalu.

Sementara Terengganu pula terus dipalit dengan kekalahan ketiga berturut-turut mereka selepas tewas kepada Selangor (0-1) dan kemudian PKNP FC (1-2) pada saingan liga minggu lalu.

Dengan kemenangan ini, Kedah mengukuh di kedudukan ketiga liga dengan mengumpul 15 mata dari 9 perlawanan sambil diekori rapat oleh pencabar, Selangor PKNS FC dan Melaka United.

Kedah: Ifwat Akmal (PG), Renan Alves, Shakir Hamzah, Rizal Ghazali, Azmeer Yusof, Baddrol Bakhtiar (K) (87′ N. Thanabalan), Amirul Hisyam (76′ Hidhir Idris), Zaquan Adha, Farhan Roslan, Jonatan Bauman (90′ Fayadh Zulkifli), Fernando Rodriguez

Terengganu FC: Suffian Ab Rahman (PG) (K), Igor Zonjic, Kamal Azizi, Nasrullah Haniff, Adib Aizuddin, Khairul Anwar, Khairu Azrin, Sanjar Shaakhmedov, Syamim Yahya (74′ Ashaari Shamsuddin), Khairul Izuan (64′ Abdul Malik Ariff), Tchetche Kipre

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN