Jaringan tunggal menerusi sepakan penalti dihasilkan Wander Luiz Bitencourt Junior akhirnya menamatkan penantian kemenangan sulung buat pasukan Perak selepas berjaya menundukkan Petaling Jaya City FC 1-0 di Stadium Perak, Ipoh, sebentar tadi.
Separuh masa pertama
Ketiadaan penyerang import dari Brazil, Gilmar Jose Da Silva Filho memberi peluang buat Shahrel Fikri Md Fauzi yang pertama kali diturunkan sebagai pemain kesebelasan utama musim ini.
Aksi babak pertama bagaimanapun lebih banyak berlegar-legar di tengah padang tanpa sebarang percubaan menarik yang dapat dijelmakan kedua-dua pasukan.
Yang lebih mencuri tumpuan adalah keputusan pengadil perlawanan, Muhammad Nazmi Nasaruddin yang acap kali rasa tidak puas hati barisan kejurulatihan PJ City FC yang diketuai K. Devan.
Rasa tidak puas hati kem PJ City FC semakin memuncak apabila Nazmi menghadiahkan sepakan penalti buat Perak selepas P. Rajes didakwa mengasari Mohd Nor Hakim Hassan dalam kawasan penalti.
Wander Luiz yang bertanggungjawab mengambil sepakan tersebut tidak berdepan masalah bagi menghasilkan jaringan pendahuluan buat tuan rumah.
Gol yang dijaringkan pada minit ke-39 itu merupakan jaringan kedua peribadi buat Wander dalam kempen Liga Super.
Sebelum itu, Shahrel Fikri kecewa selepas jaringannya pada minit ke-17 dibatalkan selepas beliau terlebih dahulu dikesan berada dalam keadaan ofsaid.
Separuh masa kedua
Perlawanan bersambung menyaksikan PJ City FC memperkemaskan aksi dengan melancarkan beberapa serangan ke kubu Perak.
Peluang terbaik mereka menjelma pada minit ke-71 menerusi bekas penyerang utama skuad kebangsaan, Safee Sali.
Safee yang mengawal dengan baik bola dalam kawasan penalti hanya berhadapan dengan Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy, namun percubaan yang dilakukan penyerang tersebut tersasar jauh dari sasaran gol.
Berselang seminit kemudian, giliran Perak pula mengkucar-kacirkan kubu pelawat menerusi gerakan yang dimulakan Firdaus Saiyadi di sebelah kiri pintu gol PJ City FC.
Hantaran cantik Firdaus mencari Nor Hakim dalam kawasan penalti bagaimanapun disepak liar pemain kelahiran Kuala Terengganu tersebut walaupun beliau tidak dikawal pertahanan PJ City FC yang nyata menghampakan penyokong tuan rumah.
Wander Luiz hampir sekali lagi meletakkan nama selaku penjaring pada minit ke-84 tetapi tandukannya hasil sepakan percuma jarak jauh Nazirul Naim Che Hashim berjaya ditepis keluar Mohd Muhaimin Mohamad.
PJ City hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-88 menerusi tandukan padu Sergio Paulo Nascimento Filho, namun Hafizul Hakim menangkap kemas peluang keemasan tersebut.
Masa tambahan empat minit yang diberikan masih tidak mampu mengubah kedudukan untuk kemenangan sulung buat Mehmed Durakovic dan anak buah.
Kredit foto: Sportspixel My & Arena Seladang