MSL 2019: Hajat Pahang Tertangguh, Terikat 1-1 Menentang Terengganu FC

Mohamadou Sumareh

Hajat Pahang untuk mengesahkan gelaran naib juara Liga Super Malaysia (MSL) 2019 lebih awal tertangguh apabila perlawanan minggu ke-21 menyaksikan mereka terikat 1-1 menentang Terengganu FC di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Pahang juga gagal meneruskan rentak kemenangan kepada kali ketiga berturut-turut. Dan kali terakhir Tok Gajah meraih tiga mata penuh di laman lawan adalah pada April lalu menentang Perak.

Sementara Sang Penyu yang hampir meraih kemenangan kelapan dalam saingan liga musim ini pula merekodkan keputusan seri kedua berturut-turut selepas terikat 2-2 menentang Kedah.

Rentak perlawanan berlangsung rancak sejak minit pertama yang menyaksikan kedua-dua pasukan saling mengatur asakan. Pahang lebih bertuah mendapat dua situasi set-pieces iaitu menerusi sepakan percuma dan penjuru, namun gagal dimanfaatkan.

Minit ke-9, penyerang Lazarus Kaimbi berpeluang meletak pelawat di depan namun percubaan kaki kanannya sedikit tersasar ke sebelah kanan gawang yang dikawal Ilham Amirullah.

Sejurus itu, giliran Terengganu pula mencatur beberapa asakan dengan peluang terbaik hadir di minit ke-17 apabila lambungan Tchetche Kipre yang melewati penjaga gol, Remezey Che Ros telah diselamatkan oleh pertahanan tengah, Muslim Ahmad.

Syamim Yahya Terengganu Pahang
FOTO: MFL

Penolong jurulatih, Shaharuddin Rosdi mempertaruhkan Lazarus Kaimbi yang telah meledak satu gol dalam empat penampilan sebagai penyerang tunggal dan meletakkan gandingan lima pemain tengah dengan misi mahu mengawal bahagian tengah.

Minit ke-42, Mohamadou Sumareh hampir menjaringkan gol pendahuluan buat Tok Gajah, namun percubaannya dari sebelah kanan gawang berjaya dikeluarkan oleh benteng tuan rumah selepas Ilham Amirullah gagal menampannya dengan kemas.

Sebagai respon segera, tuan rumah terus menyerang pantas dan hasil kesilapan kapten, Matthew Davies yang terlepas kawalan bola membolehkan Syamim Yahya berjaya mencuri dan seterusnya menewaskan Muslim Ahmad serta Remezey Che Ros.

Gol hasil rembatannya dari luar kotak penalti di minit ke-42 itu merupakan gol ke-3 Syamim Yahya dalam 20 penampilannya.

Terengganu turun dengan tiga perubahan dalam kesebelasan utama yang terikat 2-2 menentang Kedah dengan menampilkan Sharin Sapien, Khairul Anwar dan Hafizal Mohamad yang dibawa masuk daripada skuad Liga Premier, Terengganu FC II.

Minit ke-51, selepas beberapa kali mencuba, Mohamadou Sumareh akhirnya berjaya meledak gol penyamaan buat pelawat menerusi rembatan half volley selepas menerima hantaran kemas dari tengah oleh Wan Zaharulnizam ke kawasan gol tuan rumah.

Sumareh Terengganu Pahang
FOTO: MFL

Babak kedua kekal rancak dengan asakan dan dalam masa 10 minit selepas gol penyamaan tersebut, Sang Penyu kembali aktif mengasak dengan dua percubaan tersasar ke gawang pelawat menerusi rembatan Tchetche Kipre serta Hafizul Mohamad.

Pahang berterusan memburu gol kemenangan namun penjaga gol, Ilham Amirullah telah berjaya menyelamatkan percubaan Lazarus Kaimbi pada minit ke-63 untuk menafikan gol kedua buat lawan.

Minit ke-78, Tchetche Kipre gagal menyambar hantaran rendah pemain gantian, Malik Mat Ariff di hadapan gawang Tok Gajah. Penyerang berasal dari Ivory Coast itu kerap kali gagal memanfaatkan sepenuhnya peluang yang didapatinya.

Pertukaran beberapa pemain di penghujung babak kedua oleh pengendali kedua-dua pasukan merencatkan kerancakan perlawanan dengan tempo perlawanan menjadi semakin perlahan sebelum ianya ditamatkan oleh pengadil perlawanan.

Pahang kini telah mengumpul 37 mata dan kekal di kedudukan kedua sementara Terengganu pula mempersiakan peluang untuk memperbaki kedudukan apabila kekal di kedudukan ke-7 liga.

Terengganu FC: Ilham Amirullah (PG), Wan Amirzafran (30′ Muhammad Faudzi), Nasrullah Haniff, Adib Aizuddin, Hafizal Mohamad, Sharin Sapien, Lee Tuck (K), Sanjar Shaakhmedov, Khairul Anwar (69′ Malik Mat Ariff), Syamim Yahya (85′ Khairu Azrin), Tchetche Kipre

Pahang: Remezey Che Ros (PG), Herold Goulon, Muslim Ahmad, Matthew Davies (K), Zubir Azmi, Azam Azih, Wan Zaharulnizam, Saddil Ramdani (85′ Faisal Halim), Mohamadou Sumareh (89′ R. Kogileswaran), Zuhair Aizat, Lazarus Kaimbi (82′ Nik Sharif Haseefy)

Kredit Featured Image: MFL

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN