Minggu ke-4 Liga Super Malaysia (MSL) telah pun berlangsung. Dua perlawanan diadakan pada Jumaat, tiga lagi berlangsung pada Sabtu, dan pertemuan diantara Pahang menentang Selangor di Kuantan melengkapkan enam perlawanan sepanjang hujung minggu yang lalu.
11 gol telah dihasilkan sepanjang hujung minggu lalu daripada enam venue perlawanan. Tidak terkecuali, beberapa jaringan cantik turut dihasilkan, dan lima daripada jaringan tersebut kami senaraikan sebagai gol tercantik minggu ini.
Pemilihan kami adalah gol yang bersih dan bukan ‘fluke’. Contohnya terbias di kaki pemain lain ataupun kerana kesilapan penjaga gol yang melepaskan bola. Ianya juga mengambil kira bagaimana gol tersebut dihasilkan secara teknikal.
5. Syahrul Azwari vs PJ City FC
Jaringan bekas pemain skuad Harimau Muda ini kembali mengingatkan kita kepada kualiti yang ada pada beliau. Bertubuh kecil, tidak pernah membataskan beliau untuk sentiasa mengancam kubu lawan – sama ada melalui kelincahan, atau pun kebolehan mencari ruang di celah kepadatan pemain di dalam kotak penalti. Hakikatnya, kita harus akur pemain ini tidak pernah mencapai potensi diri seperti yang diharapkan.
Di bawah kendalian Aidil Sharin, ia bagaikan satu lagi peluang baru untuk pemain ini membuktikan dirinya. Tandukan yang menghasilkan gol dalam perlawanan PJ Ciry FC adalah bukti kepada ‘poaching ability’ yang dimiliki pemain ini – bijak mencari ruang untuk menerima hantaran- sekaligus mematikan langkah penjaga gol lawan.
6′ | GOL SYAHRUL AZWARI!
Perlawanan baru sahaja berusia 6 minit dan @syahrulazwari18 meletakkan Kedah dihadapan!
PJ City FC 0-1 @MEDIAKFA #PJCKED#unifiLigaSuper2019#MFLLive pic.twitter.com/yEnglIRd46
— MFL LIVE (@MFL_Live) February 22, 2019
4. Rufino Segovia vs Pahang FA
Ada sebab Rufino Segovia bergelar pemenang kasut emas pada musim lalu – sekiranya penilaian terhadap jaringan menentang Pahang ini diambil kira. Tenang kekal berada di belakang, diantara pemain pertahanan lawan, secara automatik memberikan ruang yang cantik untuk Syazwan Zainon melorongkan bola.
Rufino kemudiannya hanya perlu melakukan larian yang memerangkap pemain pertahanan lawan, dan melepaskan rembatan kaki kiri padu ke near post. Ia berlaku dengan pantas dan tajam, sekaligus mengejutkan lawan. Anda boleh perhatikan benteng akhir Pahang, Herold Goulon tidak boleh berbuat apa-apa di dalam situasi tersebut.
61′ | GOL RUFINO SEGOVIA!
Umpanan cantik dari Syazwan Zainon disudahkan dengan baik oleh Rufino Segovia untuk Gergasi Merah Kuning menyamakan kedudukan di Kuantan.@OfficialPahang 1-1 @FASelangorMy #PHGSEL#unifiLigaSuper2019#MFLLive pic.twitter.com/Mf8w3SrW7F
— MFL LIVE (@MFL_Live) February 24, 2019
3. Hadin Azman vs Perak
Jika diarahkan untuk menyenaraikan perkara paling positif mengenai prestasi Felda United selepas empat perlawanan yang dilalui pada musim ini, kami yakin Ketua Jurulatih, Nidzam Jamil akan menyebut nama Hadin Azman sebagai salah satu daripada perkara tersebut.
Felda United belum lagi mencapai kemenangan. Namun Hadin sudah dua kali menyelamatkan pasukan itu dari kekalahan. Pemain ini telah menjaringkan gol penyamaan dalam perlawanan menentang Selangor dan PKNP. Menentang Perak di Ipoh pada hujung minggu lalu, sepakan percuma cantik pemain tengah ini merupakan jaringan pendahuluan untuk pasukannya.
45′ | GOL HADIN AZMAN!
Sepakan percuma ketua pasukan FELDA United FC, @hdnazmn menerjah jaring Perak untuk meletakkan pelawat dihadapan.
Ini merupakan gol ke-3 Hadin untuk The Fighters musim ini.@peraktbgmy 0-1 @feldaunitedfc #PRKFEL#unifiLigaSuper2019#MFLLive pic.twitter.com/OZo9HYomU8
— MFL LIVE (@MFL_Live) February 23, 2019
2. Fernando Rodriguez vs PJ City FC
Ini adalah jaringan sulung Fernando Rodriguez di Liga Malaysia, sejak pemain import dari Sepanyol ini menyertai Kedah dari kelab Liga 1 Indonesia, Mitra Kukar.
Jaringan Rodriguez kelihatannya amat mudah. Namun bagaimana jaringan tersebut dihasilkan, melayakkan ia berada di dalam senarai kami pada minggu ini. Bermula dari memenangi bola dari kawasan sendiri, serangan balas pantas Kedah -dilakukan secara berpasukan- menggambarkan stabiliti yang dibawa oleh Aidil Sharin ke dalam pasukan musim ini.
41′ | GOL FERNANDO RODRIGUEZ!
Serangan balas yang sempurna dari pasukan Lang Merah disudahkan dengan baik oleh Rodriguez.
PJ City FC 0-2 @MEDIAKFA #PJCKED#unifiLigaSuper2019#MFLLive pic.twitter.com/QAxSrFJ8Fv
— MFL LIVE (@MFL_Live) February 22, 2019
1. Safawi Rasid vs Melaka United
Tatkala perhatian di Larkin tertumpu ke arah Leandro Velazquez yang kembali menyarung jersi skuad Harimau Selatan sejak 2015, pemain tempatan Safawi Rasid mencuri tumpuan dengan kualiti jaringan yang dihasilkan. Dikritik oleh penyokong dan pemerhati bola sepak tempatan kerana kegopohan di hadapan gawang dalam beberapa perlawanan lalu, Safawi membuktikan mengapa beliau sentiasa berada di dalam kesebelasan utama Luciano Figueroa – sesuatu yang perlu dijadikan motivasi oleh pemain muda lain seperti Syafiq Ahmad, Akhyar Rashid dan lain-lain.
Bermula dari lontaran ke dalam, kuisan Diogo Santo mengelirukan pertahanan lawan, membenarkan Safawi menggelecek tiga lagi pemain sebelum ‘chip’ rendah beliau mengelirukan Khairul Fahmi di hadapan gawang. Sungguh jahat gol itu!
42′ | GOL SAFAWI RASID!
Sentuhan cantik @diogooluis disudahkan dengan baik oleh @safawi37 untuk gol kedua JDT.@OfficialJohor 2-0 @MelakaUnitedSA #JDTMEL#unifiLigaSuper2019#MFLLive pic.twitter.com/NFPPrx5AI9
— MFL LIVE (@MFL_Live) February 23, 2019
Penutup
Safawi Rasid telah menutup mulut pengkritik dengan jaringan cantik pada minggi ini. Hadin Azman pula berada di prestasi terbaik bersama Felda United, tatkala Syahrul Azwari mahu kempen beliau bersama Kedah digunakan sebaik mungkin untuk kembali menyinar.
Minggu yang bagus untuk pemain tempatan?