Quantcast

LIGA MALAYSIA

MSL 2019: Gol Sendiri K. Sarkunan ‘Hadiahkan’ Kemenangan Buat Terengganu FC

Gol sendiri pemain tengah, K. Sarkunan di penghujung perlawanan telah menghadiahkan kemenangan tipis 1-0 Terengganu FC ke atas Selangor dalam aksi minggu ke-15 Liga Super Malaysia (MSL) 2019 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, sebentar tadi.

Homework‘ yang baik oleh pengendali sementara tuan rumah, Nafuzi Zain nampaknya membuahkan hasil apabila Terengganu FC menguasai sepenuhnya perlawanan dan memberikan Selangor kekalahan pertama selepas 9 perlawanan – sejak Mac lalu.

Tiga perubahan dibuat oleh Nafuzi Zain dengan meminggirkan dua pemain import, Igor Zonjic dan Thierry Bin namun Terengganu FC dilihat bermula baik apabila berjaya menekan Selangor dari sebelah sayap kiri yang digerakkan oleh Nabil Latpi.

Dua percubaan baik berjaya dicipta oleh mereka sepanjang 10 minit pertama menerusi percubaan luar kotak penalti oleh Sanjar Shaakhmedov dan juga Nabil Latpi iaitu di minit ke-7 dan ke-10.

Beraksi di laman lawan, Selangor cuba tampil lebih tenang tanpa terlalu menekan tuan rumah. Adakalanya jentera tengah yang diterajui Halim Saari dan Sandro dilihat cuba mengatur sesuatu namun benteng Terengganu FC berjaya menyerap asakan.

B. Satiananthan menyenaraikan bekas pemain lawan, Faiz Nasir yang meledak gol kemenangan mereka di Shah Alam sebelum ini dalam usaha memburu gol namun pemain kecil itu berjaya ditenggelamkan oleh barisan pertahanan tuan rumah.

Gergasi Merah harus bersyukur, sepanjang 45 minit, Sang Penyu berterusan mengasak namun masih belum mampu menggegar jaring pelawat. Sekurang-kurangnya 6 percubaan, majoritinya daripada Nabil Latpi gagal diterjemahkan dengan jaringan gol.

Ilham Amirullah yang kurang diuji di gawang di babak pertama sekurang-kurangnya telah menyelamatkan tiga percubaan lawan – dua daripadanya menerusi Syazwan Zainon yang kerap dibiarkan bergerak bebas di bahagian sayap kiri mahupun kanan.

Peluang paling hampir untuk Terengganu FC menghasilkan gol pertama perlawanan adalah menerusi percubaan deras Kipre Tchetche sebaik babak kedua bermula namun ianya berjaya ditepis oleh Farizal Harun sebelum singgah di palang gol pelawat.

Sebagaimana aksi ketika menentang PKNP FC tempohari, Selangor masih tidak agresif dan kurang menekan lawan ketika penguasaan bola dimiliki oleh tuan rumah. Dan hasil ‘homework’ Nafuzi Zain tampak berkesan dengan gerakan lawan kerap dipintas lebih awal.

Sandro, Selangor

FOTO: MFL

Satu-satunya pemain yang menyerlah buat Selangor, Syazwan Zainon sekali lagi dinafikan peluang meledak gol apabila percubaan jarak jauhnya hanya sekadar singgah di palang, 4 minit selepas percubaan lemah Halim Saari di minit ke-52.

Kemasukkan Amri Yahya pada minit ke-65 memberi nafas baharu buat Gergasi Merah apabila pemain berpengalaman itu tampil dengan gerakan lebih baik ke benteng Terengganu FC. Selepas sejam barulah nampak Selangor kembali ‘hidup’.

Begitupun, Sang Penyu tampak masih berkelebihan dengan mencipta deretan peluang – 5 percubaan dan paling hampir menerusi peluang Nabil Latpi yang sekadar melepaskan rembatan lemah ketika berdepan dengan Farizal Harun.

Palang sekali lagi menafikan percubaan Kipre Tchetche pada minit ke-86 di saat Farizal Harun sudah tertewas sebelum half volley daripadanya dua minit kemudian sekadar melewati palang gol.

Disaat keputusan bakal berakhir dengan keputusan seri, malang buat pemain tengah, K. Sarkunan apabila tampanannya di depan gol membolehkan tuan rumah mendapat gol pertama dan gol kemenangan buat mereka hasil umpanan Adib Aizuddin.

Kemenangan moral Terengganu FC ini telah melonjak mereka ke posisi ke-5 liga, 2 mata di belakang Selangor yang mengumpul 22 mata dengan masih berpotensi dipintas beberapa pasukan yang akan turun beraksi pada Sabtu dan juga Ahad.

Terengganu FC: Ilham Amirullah (PG), Nasrullah Haniff, Wan Amirzafran (73′ Mohd Faudzi), Kamal Azizi, Khairul Anwar, Khairu Azrin, Sanjar Shaakhmedov, Sharin Sapien (80′ Adib Aizuddin), Lee Tuck (K), Nabil Latpi (77′ Syamim Yahya), Kipre Tchetche

Selangor: Farizal Harun (PG), Taylor Regan, Michal Nguyen, Azreen Zulkafali (46′ A. Namathevan), K. Prabakaran, Halim Saari (65′ Amri Yahyah), K. Sarkunan (K), Faiz Nasir (57′ Sean Selvaraj), Syazwan Zainon, Sandro da Silva, Ifedayo Olusegun

Kredit Featured Images: Malaysian Football League

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!