MSL 2019: Dendam Terengganu Belum Terbalas, Terikat 1-1 Bertemu Perak

Terengganu FC dan Perak gagal merealisasikan misi mereka pada perlawanan unifi Liga Super 2019 sebentar tadi apabila kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Tanpa jaringan di babak pertama

Tidak banyak serangan berbahaya dapat disaksikan pada perlawanan ini walaupun kedua-dua pasukan berusaha keras bagi menghasilkan jaringan yang diharapkan.

Terengganu mempamerkan sedikit penguasaan terutamanya pada 20 minit awal permainan. Namun, kelebihan tersebut gagal diterjemahkan kepada jaringan.

Bukan sahaja gagal menghasilkan jaringan, malah skuad tuan rumah bimbingan Irfan Bakti Abu Salim juga tidak berupaya mencipta sebarang percubaan tepat kearah gawang Perak pada separuh masa pertama.

Terengganu FC hanya mampu mencipta dua percubaan tersasar menerusi ketua pasukan, Tchetche Kipre.

Satu-satunya percubaan tepat kearah gol yang dicipta pada 45 minit pertama itu adalah menerusi penyerang import Perak, Gilmar Jose Da Silva Filho yang mendapat umpanan cantik dari jarah jauh dilakukan Shahrul Mohd Saad.

Gilmar bagaimanapun kecewa apabila rembatan voli padu yang dilepaskannya berjaya dihalang penjaga gol veteran Terengganu FC, Mohd Suffian Rahman pada minit ke-16

Berselang lapan minit kemudian, penyokong Terengganu FC hampa apabila Tchetche Kipre yang mendapat peluang terbaik dalam kawasan penalti sekadar melakukan percubaan tersasar ke sebelah kanan pintu Perak.

Kipre sekali lagi memberikan ancaman buat pintu gol Perak yang dikawal Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam tetapi ledakannya dari luar kawasan penalti melewati palang gol pada masa kecederaan.

Masih catat keputusan seri

Permainan bersambung menyaksikan Terengganu FC mendapat peluang terbaik menerusi Nasrullah Haniff Johan pada minit ke-50.

Berpunca daripada sepakan percuma diambil Lee Tuck yang terus mencari Nasrullah ketika Hafizul Hakim gagal dalam usaha menangkis bola tersebut, Nasrullah melakukan tandukan sedikit melewati palang gol.

Gilmar terus menjadi tumpuan buat pertahanan Terengganu FC pada perlawanan ini apabila beliau bergerak solo melepasi kawalan Nasrullah dan Lee Tuck tetapi pemain kelahiran Brazil itu sekadar melepaskan rembatan leret yang mudah ditangkap Suffian berselang dua minit kemudian.

Perak yang masih belum mencatatkan sebarang kemenangan selepas mengharungi tiga perlawanan liga terus mengimbangi asakan yang diberikan tuan rumah dengan beberapa siri serangan.

Gilmar yang menjadi ‘target man’ buat skuad bimbingan Mehmed Durakovic mendapat ruang yang selesa bagi meledakkan rembatan  pada minit ke-64 setelah menerima umpanan lambung cantik dari Wander Luiz.

Namun begitu, Nasrullah lebih pantas menghalang percubaan yang cuba dilepaskan Gilmar ketika hanya berhadapan dengan Suffian.

Penantian Perak akhirnya membuahkan hasil apabila Wander Luiz berjaya membuka tirai jaringan pada minit ke-71.

Wander Luiz yang meluru pantas melakukan rembatan leret sekaligus membolosi gawang Terengganu FC untuk gol pendahuluan buat skuad Yob.

Tersentak dengan jaringan tersebut, Terengganu FC menggandakan asakan untuk kembali menyamakan kedudukan.

Hasrat Perak untuk mencipta kemenangan sulung bagaimanapun masih tidak mampu direalisasikan apabila Terengganu dihadiahkan sepakan penalti oleh Razlan Joffri Ali akibat kekasaran Kenny Pallraj terhadap Lee Tuck dalam kawasan penalti.

Lee Tuck yang mengambil sepakan tidak berdepan masalah bagi menewaskan Hafizul Hakim untuk kembali menjadikan kedudukan 1-1 pada minit ke-90.

Razlan turut mencuri tumpuan apabila beliau secara tiba-tiba terus menamatkan permainan walaupun pengadil keempat baru sahaja memberikan isyarat empat minit masa kecederaan diberikan.

Beliau kemudiannya mengakui kesilapan dan meminta perlawanan kembali bersambung. Pemain Perak yang pada mulanya menunjukkan protes kembali masuk ke padang untuk menamatkan sisa permainan.

Keputusan 1-1 kekal hingga tamat permainan untuk satu mata buat kedua-dua pasukan.

Dengan keputusan ini, Terengganu FC masih gagal membalas dendam apabila mereka tewas pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2018 manakala Perak pula terus kempunan untuk merakamkan kemenangan sulung saingan unifi Liga Super 2019.

Kredit foto: Terengganu FC

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN