MSL 2018: Patrick Cruz Wira Tok Gajah Pastikan Penyu Menangis Di Laman Sendiri

4-1-4-1. Itulah formasi yang ditampilkan oleh Irfan Bakti untuk Terengganu FC dalam perlawanan ini, membenarkan Lee Tuck dan Bruno Suzuki untuk lebih ke hadapan membantu jentera serangan.

Manakala buat Pahang FA, 4-4-2 menjadi sandaran. Ketiadaan Safuwan Baharuddin, bermakna tugasan di jentera tengah akan diperalaskan kepada Azam Azih dan Salamon Raj.

Separuh masa pertama

Pasukan tuan rumah terlebih dahulu memiliki peluang apabila seawal minit ke-3 perlawanan, Bruno Suzuki berhadapan satu lawan satu dengan penjaga gol Pahang.

Namun demikian, Helmi Eliza lebih bersedia untuk mengawal keadaan, pantas meluru keluar untuk menyelamatkan keadaan.

Sumber: TFC, Facebook.

Dua minit kemudian, giliran Pahang melalui Azam Azih melakukan percubaan, namun ditampan keluar oleh Suffian Rahman untuk sepakan penjuru yang berjaya dikeluarkan pertahanan Terengganu selepas itu.

Tandukan oleh Akani Sunday hasil hantaran Lee Tuck pada minit ke-8 pula memaksa Helmi Eliza melayangkan badan ke sebelah kiri untuk menepis keluar bola.

Bruno terlepas peluang terbaik meletakkan Terengganu di hadapan pada minit ke-31, apabila tandukan pemain import hasil sepakan penjuru cantik Lee Tuck tersasar melewati palang walaupun beliau kelihatan tidak dicabar.

Sumber: Pahang FA, Facebook.

Akhirnya kebuntuan jaringan dalam perlawanan ini dipecahkan apabila pasukan pelawat, Pahang FA berada di hadapan.

Bermula dengan kelincahan M. Sumareh di sayap kanan yang menerima hantaran jauh dari Azam Azih, bola dihantar kepada Wan Zaharulnizam. yang pantas melorongkan bola buat Patrick Cruz.

Pemain dari Brazil itu kemudiannya tiada masalah meledakkan gol untuk meletakkan Pahang 1-0 di hadapan pada minit ke-40 perlawanan.

Sumber: TFC, Facebook

Tiga minit selepas itu, Terengganu melepaskan peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan apabila percubaan J. Parthiban dari jarak dekat, tinggi melewati palang gol Pahang.

Tamat babak pertama perlawanan, Terengganu 0-1 Pahang.

Separuh masa kedua

Babak awal separuh masa kedua menyaksikan percubaan Chan Vanthanaka dari jarak dekat selepas menerima hantaran lintang Sumareh terkena palang gol. Tindakan susulan oleh Crus selepas itu, tinggi melewati palang.

Benteng Terengganu FC selepas itu terus dihukum apabila Cruz bijak melepasi halangan dua pemain pertahanan Terengganu dengan skil individu yang menarik, sebelum tenang menewaskan Suffian Rahman untuk Pahang mendahului 2-0.

Sumber: TFC, Facebook

Minit ke-56 perlawanan menyaksikan Irfan mengeluarkan Fitri Omar dan Akani Sunday, dan memasukkan Faiz Nasir dan Ashari Samsudin untuk menambah sengat ke jentera serangan.

Terengganu FC memperolehi sepakan penalti pada minit ke-72 perlawanan selepas Kamal Azizi yang melakukan larian di dalam kotak penalti Pahang dijatuhkan oleh Faizal Rosli.

Lee Tuck tenang menewaskan Helmi Eliza dengan rembatan ke sebelah kiri gawang, untuk Terengganu FC merapatkan kedudukan 1-2.

Hantaran lintang oleh Ashari Samsudin pada minit ke-88 perlawanan disambut dengan tandukan bebas oleh Lee Tuck, namun tersasar ke sebelah kanan gawang, tatkala Helmi Eliza tampak seperti sudah terkeliru.

Pahang terus menambah derita Terengganu apabila menambah satu lagi gol melalui Faisal Halim di masa kecederaan untuk mengesahkan Pahang FA membawa pulang tiga mata dari perlawanan ini.

Kesebelasan utama

Terengganu FC: Suffian Rahman (PG), Fitri Omar (Faiz Nasir 56′), Kamal Azizi, Lee Tuck, Thiery Bin, Bruno Suzuki, Latiff Suhaimi (K), J. Parthiban (Haidhir Suhaini 80′) , Adib Zainuddin, Igor Zonjic, Akkani Sunday  (Ashari Samsuddin 56′)

Pahang FA: Helmi Eliza ( PG), R. Dinesh, Patrick Cruz, Wan Zaharulnizam (M. Kogileswaran 84′), C. Vanthanaka (Faisal Halim 87′), Faisal Rosli, Afif Amiruddin, Azam Azih, Salamon Raj, Muslim Ahmad (K), M. Sumareh

 

Leave a Reply