Dua kemenangan setakat ini, PKNS FC pasti mengharapkan prestasi mereka kembali ke rentak kemenangan selepas ditewaskan oleh Kedah dengan jaringan 4-3 pada perlawanan liga minggu ke-4 yang lalu.
Tanpa kelibat Safee Sali dan Jaffri Chew di dalam kesebelasan utama, jentera serangan skuad kendalian K. Rajagopal disandarkan kepada penyerang import Rafael Ramazotti, Mahali Jasuli dan Faris Ramli di bahagian tengah di dalam formasi 4-2-3-1.
Manakala skuad kendalian Yusri Che Lah belum mencatat sebarang kekalahan sejak diambil alih oleh bekas pemain kebangsaan itu.
Turun dengan formasi 4-4-2, Do Dong Hyun, Mohamad Ghaddar dan Ferdinand Sinaga pasti jadi taruhan untuk merobek gawang PKNS pada malam ini.
Separuh masa pertama
Kelantan terlebih dahulu menguasai permainan di bahagian tengah dan hampir berjaya memerangkap pertahanan PKNS FC melalui situasi satu lawan satu dengan Shahril Saari pada minit ke-7 perlawanan.
Namun penjaga gol PKNS FC itu tenang menampan percubaan penjaring terbanyak Liga Super pada musim lalu itu. PKNS FC turut berpeluang menguji Khairul Fahmi di awal permainan, namun mempersia-siakan peluang set pieces yang terhidang.
Minit ke-11 perlawanan turut menyaksikan Khairul Fahmi terpaksa keluar untuk menutup ruang buat Ramazotti yang berjaya meloloskan diri dari kawalan.
Dua minit kemudian Khairul Fahmi sekali lagi diuji, kali ini oleh Faris Ramli yang meloloskan diri dari kawasan yang sama Ramazotti lakukan sebelum itu.
Setelah Mahali Jasuli gagal menyudahkan peluang terhidang daripada jarak dekat di hadapan gawang gol Kelantan, seminit kemudian menyaksikan tandukan bebas Bruno Lopes sekadar menuju kepada Shahril Saari pada minit ke-21 perlawanan.
Akhirnya PKNS FC memecah kebuntuan di hadapan jaring apabila Faris Ramli menanduk kencang hantaran lintang Jonathan Acosta pada minit ke-40 perlawanan.
Percubaan pertama Faris terus menuju ke Fahmi. Bola muntah daripada penjaga gol berkenaan kemudiannya dimanfaatkan oleh pemain sayap dari Singapura itu untuk PKNS FC mendahului Kelantan 1-0.
Kelantan cuba bangkit daripada jaringan tersebut, namun Shahril Saari tangkas menampan tandukan Mohamed Ghaddar dari jarak dekat, untuk PKNS FC terus mendahului 1-0 pada babak pertama perlawanan.
Separuh masa kedua
Babak kedua perlawanan bermula, PKNS FC cuba memberi tekanan awal.
Namun tempo perlawanan berubah selepas itu dengan Kelantan lebih banyak mengawal penguasaan bola dalam usaha mencari gol penyamaan.
Rodney Calvin menjadi pemain pertama menerima layangan kad kuning dalam perlawanan ini selepas terjahan keras ke atas Dong Hyun pada minit ke-68 perlawanan.
Kemasukkan Jafri Chew pada minit ke-77 perlawanan menggantikan Mahali Jasuli hampir terus memberikan impak kepada PKNS FC, apabila pemain itu berjaya meloloskan diri dari sebelah kiri serangan.
Mujurlah pertahanan Kelantan berjaya menutup ruang sebelum bola dihantar untuk mencari Ramazotti yang sudah menunggu.
Pemain-pemain Kelanyan mempunyai dua panggilan penalti di dalam tempoh lima minit terakhir perlawanan, namun tidak diberikan pengadil.
Peluang terbaik Kelantan memburu gol penyamaan tiba pada minit ke-88 perlawanan, namun sepakan percuma dari kedudukan luar kotak penalti, terbias oleh tembok pertahanan pemain PKNS FC.
Kelantan terus mengasak ke kubu PKNS FC dalam tempoh lima minit masa kecederaan yang diberikan pengadil, namun gagal menghasilkan sebarang gol.
Wisel penamat ditiupkan, dan PKNS FC menumpaskan Kelantan 1-0 hasil jaringan tunggal Faris Ramli.
Kesebelasan Utama
PKNS FC: Shahril Saari (PG), T. Reuben, Rodney Celvin, Daniel Ting, Zac Anderson (K), Qayyum Marjoni (68′ K. Gurusamy), Jonathan Costa, Romel Ramirez (85′ Safie Sali), Mahali Jasuli (77′ Jaffri Chew), Rafael Ramazotti, Faris Ramli
Kelantan FA: Khairul Fahmi (PG), Casio De Jesus, Farisham Ismail, Bruno Lopes (70′ Norfarhan), Do Dong Hyun, Azwan Aripin, Badhri Radzi(K) (81′ Shafiq Shaharudin), Ferdinand Alfred, Mohamad Ghaddar, S. Veenod, Faris Shah Rosli (59′ Nik Shahrul)
Pengadil Perlawanan: Khairulazuan Kidam
Penolong Pengadil 1: Ahmad Azanor Huslan
Penolong Pengadil 2: Asmadi Noor Hasni