MSL 2018: Perak Raih Kemenangan Keempat Berturut-Turut Selepas Tumbangkan Melaka 2-1

Perak

Perak berjaya menyerap asakan hebat di lewat perlawanan oleh Melaka untuk mencatatkan kemenangan 2-1 dalam aksi unifi Liga Super Malaysia 2018 yang berlangsung di Stadium Hang Jebat sebentar tadi.

Separuh masa pertama

Perak yang turun ke gelanggang lawan dengan misi untuk mencatatkan kemenangan keempat berturut-turut dalam saingan liga bermula dengan kemas pada 10 minit awal permainan.

Pemain sayap kiri, Nor Hakim Hassan mendapat peluang bagi membuka tirai jaringan setelah rembatan hasil gerakan solo yang dilakukannya tersasar di kiri gawang Melaka United pada minit ke-5.

Gilmar Jose Da Silva Filho turut terlepas peluang terhidang selepas tandukan yang berpunca dari sepakan sudut oleh pemain import dari Brazil itu gagal menemui sentuhan jaringan.

Tersentak dengan asakan yang dicipta pasukan pelawat, Melaka United memperkemaskan aksi dengan melancarkan siri serangan ke kubu Perak.

Beberapa percubaan yang dilancarkan Melaka United hampir meletakkan skuad bimbingan Eduardo Almeida di hadapan, namun usaha mereka digagalkan jentera pertahanan Perak.

Ketika aksi di babak pertama seakan-akan berakhir tanpa jaringan, insiden dalam kotak penalti yang melibatkan Mohd Faizal Muhamad dan Leandro Dos Santos memaksa pengadil perlawanan, Khairulazuan Kidam menganugerahkan sepakan penalti buat Perak.

Keadaan itu membuatkan para pemain Melaka berang kerana keputusan tersebut dibuat selepas perlawanan sudah berjalan hampir satu minit selepas insiden tersebut.

Ekoran Leandro yang tidak berpuas hati akibat kekasaran yang dilakukan Faizal memaksa Khairulazuan merujuk kepada pengadil ke-4 yang seterusnya memberikan sepakan penalti dan turut melayangkan kad merah kepada Faizal.

Wander Luiz Bitencourt Junior yang mengambil tanggungjawab mengambil sepakan penalti tersebut tidak berdepan masalah untuk meletakkan Perak di hadapan.

Separuh masa kedua

Memasuki babak kedua, Perak memasukkan Ahmad Khairil Anuar Zamri yang menggantikan Misagh Bahadoran untuk menambah kreativiti bagi mencipta peluang menambah jaringan.

Nazirul Naim Che Hashim terlepas peluang untuk menambah jaringan selepas beliau yang tidak dikawal di bahagian kanan pintu gol Melaka melakukan rembatan yang berjaya ditepis keluar Zamir Selamat.

Gilmar terus menceriakan kem Perak selepas menjaringkan gol kedua pada minit ke-56 hasil lorongan dalam kotak penalti yang dilakukan Nor Hakim.

Walaupun tuan rumah beraksi dengan 10 orang pemain, ia tidak melemahkan semangat para pemain Melaka United untuk mengancam Perak.

Usaha mereka berhasil pada minit ke-78 apabila pemain import, Yahor Zubovich berjaya menanduk masuk bola hasil hantaran daripada Muhammad Fauzi Roslan untuk merapatkan jurang gol.

Jaringan tersebut ternyata membakar semangat juang para pemain Melaka untuk mendapatkan jaringan penyamaan.

Beberapa kali gawang Perak yang dikawal oleh Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy diasak, namun jentera pertahanan Perak jelas berdisiplin untuk menggagalkan usaha yang dilancarkan Melaka.

Keputusan 2-1 kekal hingga tamat permainan untuk memberikan tiga lagi mata penuh buat Perak bagi mengumpul 16 mata untuk kekal di tangga ketiga liga manakala kekalahan ketiga berturut-turut Melaka ini meletakkan mereka di tangga ke-9 dengan 9 mata terkumpul.

Kredit foto: Melaka United Soccer Association

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN