MSL 2018: Perak Melonjak Ke Tangga Ke-4 Liga Super Selepas Tumpaskan PKNP FC

Perak

Pertembungan sulung diantara Kelab Bola Sepak Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC) bertemu Perak memihak skuad bimbingan Mehmet Durakovic selepas menang 2-1 pada aksi unifi Liga Super Malaysia 2018 di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang.

Kemenangan ketiga yang dicatatkan Perak itu meletakkan mereka kini berada ditangga ke-4 liga selepas mengharungi enam perlawanan.

Separuh masa pertama

Aksi pada awal perlawanan sedikit hambar dipamerkan kedua-dua pasukan yang kelihatan masih tercari-cari rentak permainan mereka.

Bola hanya berlegar-legar di tengah padang tanpa serangan berbahaya dicipta.

Keadaan tersebut berubah setelah perlawanan memasuki minit ke-19 apabila pemain import dari Brazil, Wander Luiz Bitencourt Junior berjaya membuka tirai jaringan menerusi satu sepakan dari luar kotak penalti.

Jaringan pembukaan itu berpunca daripada hantaran lintang yang cuba dilakukan Misagh Bahadoran ditumbuk keluar penjaga gol PKNP FC, Ahmad Asyraaf Omar.

Namun, bola yang ditumbuk Asyraaf gagal dikawal Muhammad Fadhil Idris dan kemudiannya dirampas Wander Luiz untuk melakukan rembatan ‘half volley’ sekaligus memperdayakan Asyraaf yang sudah keluar dari posisinya.

Jaringan pembukaan dari Wander Luiz itu memberikan tonik berguna buat Perak untuk menambah jaringan dan hampir menambah jaringan kedua pada minit ke-23.

Gilmar Jose Da Silva Filho terlepas peluang untuk menambah jaringan buat skuad ‘Yob’ apabila tandukan yang dilakukannya hanya sedikit tersasar di sebelah kanan pintu gol tuan rumah.

Berselang seminit kemudian, berpunca dari satu lagi rembatan dari luar kotak penalti, Perak terus menggembirakan penyokong yang hadir ke Batu Kawan dengan jaringan kedua dari ketua pasukan, Mohamad Nasir Basharudin.

PKNP FC berusaha untuk merapatkan kedudukan pada minit ke-35, namun peluang keemasan hasil tandukan yang dilakukan Clovis Franklin Anzite-Touadere dihalang oleh Nazirul Naim Che Hashim di atas garisan gol pasukan Perak.

Separuh masa kedua

Memasuki babak kedua, Wander Luiz hampir menambah jaringan kedua peribadinya hasil lontaran ke dalam jauh yang dilakukan Nasir Basharudin.

Bagaimanapun, Ahmad Asyraaf lebih bersedia kali ini untuk menepis keluar percubaan berbahaya daripada pemain import berusia 31 tahun itu pada minit ke-53.

Pemain pertahanan kanan, Amirul Azhan Aznan mencetuskan bahaya buat Perak apabila usaha beliau untuk menghalang hantaran lintang Shahrel Fikri Md. Fauzi hampir tertampan ke gawang sendiri.

Aksi di babak kedua ini lebih memperlihatkan peningkatan pada persembahan PKNP FC setelah beberapa kali mereka cuba mencemaskan pertahanan skuad ‘Kejor Yob Skor’ itu.

Usaha PKNP FC akhirnya membuahkan hasil apabila Shahrel Fikri menghukum kealpaan pemain pertahanan Perak pada minit ke-80.

Shahrel bijak memperdayakan pemain pertahanan, Robert Corthwaite dengan gerak badan menarik lalu melepaskan rembatan yang berjaya menewaskan Hafizul Hakim Khairul Nizam.

Pemain gantian PKNP FC, Deevan Raj mensia-siakan peluang terbaik dimiliki dalam kotak penalti apabila beliau meledakkan rembatan yang meliar pada minit ke-90.

Pengadil perlawanan, Muhammad Rahmat Jantan meniup wisel penamat untuk memberikan tiga mata penuh buat Perak.

 

 

 

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN