Quantcast

LIGA MALAYSIA

MSL 2018: Perak Cipta Kemenangan Kelima Berturut-Turut Untuk Melonjak Ke Tangga Kedua Liga

 

 

Perak melonjak ke tangga kedua saingan unifi Liga Super Malaysia 2018 selepas berjaya menundukkan Terengganu FC 3-2 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Perak, Ipoh sebentar tadi.

Separuh masa pertama

Skuad bimbingan Mehmet Durakovic berjaya membolosi gawang Terengganu FC seawal minit ke-3 menerusi Gilmar Jose Da Silva Filho.

Namun, jaringan penyerang kelahiran Brazil itu dibatalkan kerana beliau terlebih dahulu dikesan melakukan kekasaran terhadap Nasrullah Haniff Johan.

Berselang dua minit kemudian, Wander Luiz Bitencourt Junior menebus kesilapan yang dilakukan Gilmar dengan menghasilkan jaringan pembukaan menerusi rembatan dari luar kotak penalti yang gagal diselamatkan Mohd Suffian Rahman.

Pasukan pelawat kembali menyamakan kedudukan pada minit ke-11 menerusi pemain sayap kanan, J.Partiban hasil gerakan yang dilancarkan di sebelah kiri pintu gol Perak.

Kedudukan kembali berubah dua minit kemudian selepas Gilmar yang menerima lorongan daripada Wander Luiz, meledakkan rembatan padu untuk jaringan kedua buat skuad Yob.

Perak terus bernafsu bagi memburu jaringan apabila sepakan percuma dari jarak jauh yang dilakukan Nasir Basharudin mencemaskan kem Terengganu FC, bagaimanapun percubaan tersebut berjaya ditepis keluar oleh Suffian.

Gilmar terus menjadi ancaman buat anak buah Irfan Bakti Abu Salim selepas berjaya menyempurnakan sepakan penalti yang dihadiahkan oleh pengadil perlawanan, Nagor Amir Bin Noor Mohamed pada minit ke-38.

Sepakan penalti tersebut diberikan selepas percubaan dalam kotak penalti yang dilakukan Gilmar terkena tangan pertahanan Terengganu FC, Igor Zonjic.

Penyerang berbisa Terengganu FC, Tcheche Kipre yang baru sahaja pulih dari kecederaan dilihat masih belum mampu untuk memperagakan aksi terbaiknya pada babak pertama.

Separuh masa kedua

Sebaik sahaja perlawanan bersambung, Perak terus menekan ke kubu pertahanan Terengganu FC dengan tandukan Gilmar yang sudah pun berjaya memperdayakan Suffian, namun Igor Zonjic pantas mengeluarkan bola di atas garisan gol.

Nazirul Naim Che Hashim juga mencipta peluang terbaik menerusi sepakan percuma pada minit ke-64 tetapi ledakan dari jarak jauh pemain pertahanan kiri itu sedikit melewati palang.

 

Perak yang mempamerkan corak permainan lebih tersusun, terus mengasak pasukan pelawat apabila sekali lagi mensia-siakan peluang yang dimiliki selepas percubaan daripada Gilmar selepas mendapat hantaran dari Nasir hanya meleret keluar di sebelah kanan pintu gol Terengganu FC.

Nagor Amir sekali lagi menghadiahkan sepakan penalti dan kali ini diberikan pula kepada Terengganu FC selepas penjaga gol, Hafizul Hakim Khairul Nizam mengasari Tcheche Kipre dalam kotak penalti.

Lee Andrew Tuck yang mengambil sepakan penalti pada minit ke-79 tersebut tidak berdepan masalah untuk menghasilkan gol kedua sekaligus merapatkan kedudukan.

Kedudukan tersebut kekal hingga tamat permainan untuk memberikan kemenangan kelima berturut-turut dalam saingan Liga Super selepas mengharungi sembilan perlawanan.