Selepas meledakkan hatrik ketika membantu skuad Pahang menafikan kemaraan JDT, Patric Cruz meneruskan sentuhan berbisa yang dimilikinya dengan satu jaringan ketika membantu Pahang menewaskan Melaka United 2-0 di Stadium Darul Makmur pada malam tadi.
Satu lagi gol skuad Tok Gajah dijaringkan oleh Faisal Halim, dengan kedua-dua gol oleh Cruz dan Faisal hanya hadir pada babak kedua perlawanan.
Kemenangan tersebut turut memastikan pasukan kendalian Dollah Salleh ini menduduki tangga kedua unifi Liga Super Malaysia selepas memungut 14 mata daripada tujuh perlawanan.
Tidak banyak boleh diperkatakan pada babak pertama perlawanan apabila tiada asakan berbahaya dilakukan oleh kedua-dua pasukan ke arah gawang lawan masing-masing.
Peluang terbaik Melaka United untuk mendahului perlawanan tiba di minit ke-20 perlawanan, namun percubaan pemain import dari Korea Selatan, Jeon Woo Young melewati palang gol Pahang.
Nor Azam Azih dan Patrick Cruz turut melakukan percubaan selepas itu untuk skuad Tok Gajah, namun percubaan kedua-dua pemain dinafikan oleh Zamir Selamat di hadapan gawang Melaka United.
Babak kedua perlawanan menyaksikan Pahang menggandakan usaha untuk memastikan tiga mata penuh dari aksi di gelanggang sendiri.
Percubaan oleh Safuwan Baharudin berjaya menewaskan Zamir pada minit ke-59 perlawanan, sebelum dinafikan oleh tiang gol.
Melaka United turut berpeluang menjaringkan gol pendahuluan tetapi percubaan R Gopinathan berjaya diselamatkan penjaga gol, Helmi Eliza Elias enam minit selepas itu.
Akhirnya, gol yang dinanti-nantikan berjaya dihasilkan melalui sentuhan Patrick Cruz yang menewaskan Zamir pada minit ke-71 perlawanan.
Faisal Halim pula melengkapkan kemenangan pada minit ke-90 perlawanan, sekali gus mengesahkan tiga mata buat skuad Tok Gajah.
Pasukan kendalian Dollah Salleh itu kini berada di tangga kedua liga, dan hanya dibezakan 4 mata dari pendahulu JDT selepas 7 perlawanan.