Quantcast

BERITA

MSL 2018: Kuala Lumpur Pamer Kejutan, Cemerlang Tumbangkan JDT 1-0

Selepas kalah 2 perlawanan pembukaan unifi Liga Super 2018 berturut-turut, Kuala Lumpur mengutip kemenangan pertama mereka dengan menewaskan gergasi selatan, JDT di Stadium KLFA, Cheras. Gol tunggal perlawanan dijaringkan oleh pemain tengah, Paulo Josue.

KL taruh kepercayaan

Kuala Lumpur turun dengan barisan kesebelasan sama yang tewas 0-2 dengan Negeri Sembilan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi. Mengekalkan sistem 4-4-1-1, Fabio Maciel mengekalkan kepercayaan beliau kepada Junior Apareceido yang dikritik hebat penyokong ketika di Paroi untuk membantu gandingan Paulo Josue dan Guilherme de Paula.

Di tengah, Achmad Jufriyanto membuat penampilan kedua liga, bergandingan dengan Indra Putra Mahayudin di posisi tengah sebagai double pivot.

JDT juga tidak menampilkan sebarang kejutan dalam kesebelasan utama mereka. Bermain dengan sistem 4-3-3 tipikal mereka, Ulisses Morais mengekalkan trio Safiq Rahim, Hariss Harun dan Natxo Insa di tengah.

Di bahagian serangan, sekali lagi Luciano Figueroa bergandingan dengan Jorge Diaz dan Gonzalo Cabrera.

Keluasan JDT beri masalah

Bermula dari minit pertama lagi, Kuala Lumpur menunjukkan tanda-tanda awal goyah apabila dengan mudah menyerahkan penguasaan bola kepada JDT. Dengan JDT yang bermain dengan keluasan padang yang maksimum, ia menyukarkan usaha Kuala Lumpur untuk mendapat bola.

Adat JDT ketika memegang bola, bek kiri dan kanan mereka akan naik atas untuk membekalkan keluasan kepada pasukan ketika Jorge Diaz dan Gonzalo Cabrera beroperasi di kawasan separa ruang (half space).

Ini terbukti apabila dalam masa 10 minit sahaja, 3 serangan JDT dihasilkan dari hantaran-hantaran lintang Corbin Ong di sayap kiri. Jika tidak kerana pertahanan Kuala Lumpur yang cemerlang bertahan, JDT pasti sudah mendapat gol pendahuluan.

Diaz dan Figueroa masing-masing mempunyai 2 percubaan tepat ke arah gol pada separuh masa pertama. Bagaimanapun penyudah tumpul ditambah dengan kecemerlangan penjaga gol, Kamarul Effandi dan pertahanan tengah, Hisyamudin Syaari mengecewakan pelawat.

KL manfaat ruang yang ditinggalkan bek sisi JDT

Meskipun taktik JDT ini menghasilkan banyak peluang, ia tetap mempunyai kelemahannya. Setiap kali Corbin Ong atau S. Kunanlan naik atas, mereka berdua akan meninggalkan ruang yang cukup besar di belakang mereka.

Ruang inilah yang dimanfaatkan oleh Guilherme de Paula dan Paulo Josue setiap kali Kuala Lumpur menyerang balas. Seawal minit ke-2 lagi, de Paula menunjukkan kelemahan JDT ini dengan menyerang ruang yang ditinggalkan oleh Corbin Ong dan membuat percubaan. Bagaimanapun ia sekadar mengenai sisi jaring (side netting).

Pada minit ke-16, de Paula sekali lagi memanfaatkan ruang yang ditinggalkan Corbin Ong untuk membuat hantaran lambung kepada Paulo Josue yang memanfaatkan sisi buta (blindside) Kunalan. Tetapi Haziq cekap menepis percubaan Josue.

JDT jarang-jarang diserang oleh Kuala Lumpur. Tetapi apabila mereka diserang, ianya mencemaskan penyokong mereka. Apatah lagi selepas Marcos Antonio terpaksa dikeluarkan kerana kecederaan pada minit 39′. Beliau kemudiannya diganti oleh Adam Nor Azlin.

Pada masa tambahan separuh masa pertama, Kuala Lumpur mengejutkan kira-kira 13,000 penyokong JDT di Stadium KLFA, Cheras apabila Paulo Josue berjaya menjaringkan gol hasil gabungan hantaran cantik Apareceido dan kealpaan Kunalan yang gagal mengawal Josue.

Perlawanan tertangguh seketika

Berbeza pada separuh masa pertama yang banyak berpunca dari kawasan sayap, pada separuh masa kedua JDT mula menumpukan zon 14 pula ketika merancang serangan.

Dari segi teori, ia mungkin boleh mencemaskan Kuala Lumpur. Tetapi hujan lebat di Bandar Tun Razak menyebabkan air bertakung di padang – sekaligus menyukarkan JDT untuk melaksanakan perubahan pelan taktikal mereka.

Ditambah pula dengan Kuala Lumpur yang sudah mula meletakkan 9 pemain di belakang bola, JDT semakin sukar untuk menyerang zon 14 pasukan ibu kota itu.

Dengan keadaan padang yang basah dan tidak sesuai untuk dimainkan, pengadil membuat keputusan untuk menangguhkan perlawanan pada minit ke-56 kepada keesokan hari (11 Februari 2017) pada pukul 4 petang.

JDT asak bertubi-tubi

Apabila perlawanan kembali disambung semula pada petang keesokan hari, JDT tidak mengambil masa lama untuk membuat perubahan taktikal. Mengeluarkan Adam Nur Azlin dan memasukkan Safawi Rasid, JDT bertukar dari sistem 4-3-3 kepada 4-4-2 – menandakan niat mereka untuk menyerang.

Perubahan ini ada hasilnya seperti yang terjelma pada minit ke-58 apabila Diaz berjaya meloloskan diri untuk membuat percubaan. Bagaimanapun Kamarul Effandi selesa menyelamatkan percubaan tersebut.

Effandi tampak berazam untuk memperbaiki persembahan buruk beliau ketika kekalahan 0-2 menentang Negeri Sembilan dalam perlawanan ini apabila sekali lagi menjadi penyelamat pada minit 59′. Berpunca daripada sepakan sudut Safiq, Effandi sekali lagi cemerlang menangkap kemas rembatan padu Hariss Harun.

Di kala JDT sibuk menyerang, sekali-sekala de Paula mendedahkan kelemahan ketara JDT dengan menyerang channel kiri dan kanan yang ditinggalkan oleh Corbin Ong dan Kunalan. Meskipun ia tidak menghasilkan gol kedua Kuala Lumpur, ia tetap memberi peringatan kepada penyokong JDT bahawa pasukan mereka tetap mempunyai kelemahan.

Dengan masa perlawanan yang semakin suntuk ditambah pula dengan 9 pemain Kuala Lumpur berkampung di kubu sendiri, JDT nampak tidak berupaya untuk mengubah skor perlawanan meskipun mempunyai beberapa percubaan bahaya.

Keputusan 1-0 kekal berpihak kepada Kuala Lumpur untuk kemenangan pertama mereka pada musim 2018.

Pemain terbaik perlawanan: Paulo Josue (Kuala Lumpur)

Barisan kesebelasan utama:

KUALA LUMPUR: Kamarul Effandi (PG), Zhafri Yahya, Bobirjon Akbarov, Hisyamudin Shaari, Azmeer Yusof, Indra Putra Mahayuddin (K), Achmad Jufriyanto, Paulo Josue, Firdaus Faudzi, Junior Aparecido, Guilherme de Paula.

JDT: Haziq Nadzli (PG), S. Kunanlan, Marcos Antonio, Fadhli Shas, La Vere Corbin Ong, Harris Harun, Natxo Insa, Safiq Rahim (K), Gonzalo Cabrera, Jorge Pereyra Diaz, Luciano Figueroa.

Kami perlukan bantuan anda.

Saban hari, semakin ramai peminat bola sepak membaca Semuanya BOLA. Seiring dengan pertambahan pembaca ini, kos operasi kami turut meningkat. Jadi anda boleh nampak kenapa kami perlukan bantuan anda. Untuk memastikan penulis-penulis kami dapat terus membekalkan konten-konten yang tidak bias dan berkualiti kepada anda, duit dan kerja keras sangat diperlukan. Tetapi kami buat juga kerana kami percaya anda berhak mendapat maklumat berkualiti dari media yang telus, bebas dan terbuka.

Sumbangan anda membolehkan masa depan penulis-penulis kami terus terjamin. Dengan hanya RM5, anda boleh menyokong Semuanya BOLA - dan ia hanya mengambil masa 1 minit. Terima kasih.

atau Beri Sumbangan

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!