Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak berdepan masalah untuk mencatatkan kemenangan kedua dalam saingan unifi Liga Super Malaysia 2018 setelah berjaya menundukkan pendatang baru liga, Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC) 3-0 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos sebentar tadi.
Aksi di Larkin jelas memperlihatkan penguasaan buat pasukan tuan rumah yang seperti kebiasaan melancarkan serangan dengan hantaran pendek berkualiti.
Luciano Figueroa menguji gawang PKNP FC seawal minit pertama apabila tandukan yang dilakukannya hasil lontaran jauh dari Corbin Ong berjaya ditangkap kemas Syazani Mat Puat.
Selepas daripada percubaan tersebut, JDT masih mengawal permainan dengan baik berbanding PKNP yang tercari-cari rentak permainan terbaik mereka.
Namun, gerakan-gerakan yang dilakukan anak buah Ulises Morais itu gagal diterjemah menjadi jaringan. Hanya tiga percubaan tersasar dicipta sebelum jaringan pendahuluan menjelma pada minit ke-45.
Berpunca daripada ‘set piece’ hasil sepakan percuma rendah dari Safiq Rahim yang menghantar bola kepada Natxo Insa, pemain berdarah kacukan itu kemudiannya mengumpan cantik kepada Jorge Pereyra Diaz.
Diaz yang tidak dikawal pertahanan PKNP FC, melakukan rembatan sekaligus menewaskan Syazani untuk jaringan pembukaan perlawanan.
JDT terus mendominasi permainan pada babak kedua dan usaha mereka membuahkan hasil pada minit ke-58 selepas pemain pertahanan, Fadhli Shas menanduk masuk bola hasil sepakan sudut yang dilakukan Safiq Rahim bagi tuan rumah melebarkan penguasaan.
Jaringan tersebut ternyata masih belum cukup buat JDT. Ulises Morais melakukan pertukaran dengan memasukkan Gonzalo Cabrera bagi menggantikan Ahmad Hazwan Bakri seminit selepas jaringan kedua tersebut dihasilkan bagi menambah bisa di bahagian serangan.
Cabrera terlepas peluang untuk menambah jaringan setelah beliau yang menerima umpanan cantik dari Natxo Insa sekadar melakukan rembatan melewati palang gol ketika pemain dari Argentina itu sudah mendapat peluang terbaik di hadapan gol.
Seorang lagi pemain gantian JDT, Safawi Rasid juga hampir meletakkan nama selaku penjaring selepas rembatan luar kotak penalti yang dilakukannya selepas tiga minit dimasukkan berjaya ditepis keluar Syazani.
Ketika perlawanan hampir ke penghujung, Natxo Insa berjaya menambah jaringan ketiga pada masa kecederaan untuk kemenangan 3-0 buat JDT.
Kredit foto: JOHOR Southern Tigers