MSL 2018: JDT Terus Raih Kemenangan Selepas Tumpaskan PKNP FC 2-1

JDT

Johor Darul Ta’zim mencatatkan kemenangan ke-18 dalam saingan unifi Liga Super Malaysia musim ini selepas menumpaskan Kelab Bola Sepak Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC) 2-1 di Stadium Perak, Ipoh sebentar tadi.

Hambar di separuh masa pertama

JDT yang sudah mengesahkan kejuaraan Liga Super buat lima musim berturut-turut lebih mendominasi permainan di babak pertama.

Selain dari penguasaan bola yang dimiliki, tidak banyak perkara menarik yang dapat diperkatakan apabila JDT gagal menjelmakan serangan yang begitu berbahaya. Begitu juga buat tuan rumah.

Skuad bimbingan Abu Bakar Fadzim terlebih dahulu menguji pintu gol JDT seawal minit ke-7 selepas Hafiz Ramdan melepaskan rembatan ketika Izham Tarmizi Roslan kelihatan sedikit keluar dari posisinya.

Izham bagaimanapun lebih pantas bagi menangkap kemas percubaan daripada kapten PKNP FC itu.

Ahmad Hazwan Bakri pula hampir memberikan kelebihan buat JDT selepas beliau yang menerima umpanan cantik dari Hariss Harun meledakkan rembatan yang sekadar mengenai sisi jaring.

JDT terlepas satu lagi peluang pada minit ke-30 oleh Fernando Marquez selepas menerima lontaran jauh daripada Corbin-Ong sedikit mencemaskan kubu PKNP FC.

Aksi lebih menarik di separuh kedua

Saingan di babak kedua turut memperlihatkan dominasi skuad bimbingan Raul Longhi untuk merobek gawang PKNP FC yang dikawal Muhamad Syazani Mat Puat.

Bagaimanapun, PKNP FC  juga sesekali mencipta ruang dalam usaha mereka bagi membuka tirai jaringan.

Fernando Marquez akhirnya memecah kebuntuan pada minit ke-74 selepas beliau yang melihat kawasan penalti lawan kompak dengan pemain PKNP FC, meledakkan rembatan dari luar kotak penalti untuk membuka tirai jaringan.

JDT mengukuhkan kedudukan dua minit kemudian dan giliran pemain gantian, Syafiq Ahmad pula meletakkan nama selaku penjaring.

Syafiq dengan tenang menyudahkan bola hasil lorongan dari sebelah kiri pintu gol PKNP FC yang dilakukan Hazwan Bakri.

Tuan rumah berjaya mengurangkan defisit jaringan pada minit ke-78 menerusi Fandi Ahmad.

Fandi yang baru sahaja dimasukkan menerima hantaran Kim Sangwoo sekaligus meluru pantas ke gawang JDT bagi melepaskan rembatan kaki kiri lalu menewaskan Izham.

Kekalahan ini meletakkan PKNP FC berada di tangga ke-9 liga dengan memperolehi 22 mata.

Foto: Johor Southern Tigers

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN