Persaingan merebut tiket terakhir promosi ke saingan Liga Super 2020 melibatkan empat pasukan akhirnya dinoktahkan apabila Pulau Pinang mengesahkan diri akan mengiringi Sabah selepas berjaya membenam salah satu pencabar, PDRM, malam tadi.
Menariknya juga, keempat-empat pasukan saling bertembung menjadikan persaingan pada malam terakhir Liga Premier 2019 amat dinantikan oleh penyokong-penyokong yang terlibat.
Di wisel penamat, Pulau Pinang menang 2-1 ke atas PDRM, sementara UITM FC terikat 1-1 menentang Negeri Sembilan.
Sesuatu yang diluar jangkaan apabila Pulau Pinang yang sebelum beraksi berada di kedudukan ke-6 akan melonjak hingga ke kedudukan ke-3 pada penghujung aksi. Dan ada satu ketika, Harimau Kumbang pernah berada di kelompok bawahan liga.
Jaringan Casagrande dan Al-Hafiz Harun membantu mereka meraih kemenangan ke-8 liga selain mengekalkan rekod tanpa kalah dalam 10 perlawanan – hampir semua aksi pusingan kedua.
Beraksi di laman lawan tidak mengurangkan semangat melawan Harimau Kumbang apabila telah mendahului aksi seawal minit ke-5 apabila Casagrande menanduk masuk gol pertama perlawanan yang juga merupakan jaringan ke-9 peribadinya musim ini.
PDRM cuba bangkit mengejar kedudukan menerusi 4 percubaan yang diselamatkan penjaga gol, Zamir Selamat. Dan akhirnya pada minit ke-30, Patrick Ronaldinho Wleh meledak gol penyamaan selepas menerima hantaran pemain sayap, R. Gopinathan.
10 minit kemudian, The Cops dipaksa beraksi dengan 10 pemain apabila Uche Agba dilayangkan kad merah kerana telah mengasari pemain pelawat. Ia jelas memberi tekanan buat tuan rumah.
Minit ke-51, selepas melakukan assist kepada Casagrande untuk gol pertama, Al-Hafiz Harun muncul meledak gol kemenangan buat anak didik Manzoor Azwira selepas kegagalan benteng PDRM mengeluarkan percubaan awal penyerang, Ezequiel Aguero.
Jaringan ke-5 peribadi Al-Hafiz Harun itu membantu pelawat menamatkan perlawanan dengan nota kemenangan dan layangan kad merah kepada dua lagi pemain PDRM di masa tambahan babak kedua langsung menutup peluang kebangkitan The Cops.
Kali terakhir Pulau Pinang beraksi di saingan Liga Super adalah pada musim 2017 dan telah tersingkir ke Liga Premier apabila menghuni tangga tercorot dengan hanya mengumpul 12 mata.
Kredit Featured Image: NSTP/Nazri Abu Bakar