Terengganu FC berjaya menyerap tekanan hebat yang dijelmakan Perak pada lewat permainan untuk mencatatkan kemenangan 4-3 pada aksi Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2019 di Stadium Indera Mulia, Ipoh, sebentar tadi.
Kemenangan itu menamatkan rentetan tiga kekalahan dialami Terengganu FC manakala Perak gagal untuk mencari kemenangan keempat berturut-turut.
Lebih manis buat Terengganu apabila mereka berjaya menamatkan rekod tanpa kalah Perak di laman sendiri.
Penjaring terbanyak Perak, Mohd Ridzwan Bakri tidak memerlukan masa yang lama untuk menceriakan penyokong setia tuan rumah.
Jaringan pada minit pertama perlawanan itu terhasil selepas Ridzwan berjaya menyudahkan peluang satu lawan satu dengan penjaga gol Terengganu FC, Mohd Zikry Aiman Zamri.
Aidil Shahril Rosli melebarkan kedudukan buat Perak pada minit keempat selepas ledakan kaki kirinya pada minit keempat terus menerjah gawang.
Ketinggalan dua gol membuatkan Terengganu FC bangkit dari lamunan dan kembali memperkemaskan aksi dengan gerakan menarik dicipta.
Skuad bimbingan Mohd Rozairi Ahmad itu berjaya merapatkan kedudukan pada minit ke-12 menerusi Alif Shafiq Suhaimi yang menolak mudah hantaran hasil ‘setpiece’ dimulakan Mohd Aizat Saari.
Berselang tiga minit kemudian, perlawanan kembali terikat apabila Ahmad Aqil Khalis yang tidak dikawal pemain Perak menolak masuk hantaran lintang dilakukan Mohd Hafiz Ismail.
Perak terus tertekan setelah Terengganu FC mendapat sepakan penalti kedua (second spot) berikutan enam kesalahan terkumpul yang dilakukan.
Mohamad Idham Shafuan Iraman yang mengambil sepakan tidak mensia-siakan peluang terhidang untuk memberikan jaringan pendahuluan buat pelawat.
Aksi menarik kedua-dua pasukan diteruskan pada babak kedua dengan corak permainan berkualiti tinggi ditampilkan.
Mohamad Awalluddin Mat Nawi kembali membuatkan Stadium Indera Mulia bergempita di minit ke-34 selepas percubaannya berpunca dari ‘setpiece’ gagal diselamatkan Mohd Zikry sekaligus menjadikan kedudukan 3-3.
Namun, kegembiraan itu tidak bertahan lama apabila Ahmad Aqil Khalis meledakkan rembatan padu dari luar kawasan D hasil sepakan penjuru yang menghadiahkan jaringan kemenangan buat Terengganu FC.
Pemain terbaik perlawanan: Ahmad Aqil Khalis Adli Khairuz (Terengganu FC)
Kredit foto: Mohamad Syazrin | Perak Futsal