Pengendali Pahang, Taufik Yaiyah mengakui tidak dapat menyembunyikan debaran sepanjang aksi pertama Malaysia Premier Futsal League (MPFL) 2019 menentang Kuala Lumpur pada Ahad, yang menyaksikan skuadnya bermula dengan langkah kanan setelah melakar kemenangan 4-2 di Kompleks Sukan Panasonic.
“Ia satu kelegaan, saya tidak pernah meragui kemampuan dan kualiti pemain saya, tetapi perlu diakui kita mungkin lambat panas. Ia bukan perlawanan yang mudah, kerana Kuala Lumpur cuba bangkit memberikan tentangan.
“Selepas mendapat gol pertama kita semakin yakin mengawal perlawanan dan mencipta peluang, kredit kepada pemain saya kerana melaksanakan tanggungjawab dengan baik.
“Fokus, disiplin dan kepercayaan adalah kunci kemenangan kita. Fokus pada setiap minit, disiplin dalam menyerang dan bertahan, serta kepercayaan terhadap sistem , kepercayaan terhadap set-pieces dan kepercayaan pada rakan sepasukan,” ujar Taufik.
Pada perlawanan itu, Pahang membuka jaringan pada minit kelima menerusi percubaan pemain skuad bawah 20 tahun kebangsaan Mahadir Harahap Khairudin dan kemudiannya menggandakan kelebihan empat minit kemudian menerusi pemain kebangsaan Abu Haniffa Hassan yang menolak masuk hantaran Azwann Ismail menewaskan Alif Haikal Mohd Zaini di gawang Kuala Lumpur.
Pasukan tuan rumah kemudian berjaya merapatkan jurang menerusi percubaan Mulhim Muqri Faisal pada minit ke-18, namun dua bintang kebangsaan Khairul Effendy Bahrin dan Saifulnizam Ali berganding cemerlang menunjukkan persefahaman yang baik untuk mengembalikan kelebihan dua gol buat Pahang, apabila Saifulnizam menyempurnakan umpanan Khairul Effendi.
Pahang terus selesa apabila giliran Muhammad Farhan Khairul Anuar pula meledak menjadikan kedudukan 4-1, sebelum KL mendapat jaringan kedua tiga minit sebelum tamat permainan sekali lagi menerusi Mulhim Muqri.
Bagi Taufik, dia berharap pemain tidak terbuai dengan kemenangan pertama ini dan kekal fokus kepada aksi seterusnya menentang KL City pada Rabu ini di Kompleks Sukan SUKPA, Kuantan.
“Ini baru permulaan, kita perlu agresif dalam perlawanan mendatang. Saya akan buat analisis bersama team kejurulatihan tentang prestasi dan juga kecederaan pemain terutama kapten pasukan, Akmarulnizam (Idris) yang tidak dapat menghabiskan perlawanan menentang KL. Kita akan turun dengan mentaliti sama, mahu menang dan akan bariskan skuad terbaik,” tambah Taufik lagi.