Jelas jurang ketara antara Selangor dan Pulau Pinang apabila aksi minggu ke-4 Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2019 berakhir dengan kemenangan bergaya 6-0 buat pelawat di Kompleks Sukan Azman Hashim USM, Pulau Pinang, sebentar tadi.
Selepas tewas 1-3 kepada Terengganu minggu lalu, kali ini di halaman sendiri, Pulau Pinang gagal mempamerkan kebangkitan apabila tunduk pula kepada pendahulu liga, Selangor. Ini adalah kekalahan kedua berturut-turut buat Pulau Pinang.
Sementara Selangor pula hadir selaku pendahulu mempamerkan imej sang juara apabila mendominasi keseluruhan perlawanan. Watak penting kemenangan pelawat lewat petang ini adalah kombinasi baik Azri Rahman, Syed Aizad dan Shamsul Akmar.
Di awal babak pertama, Selangor menekan tuan rumah menerusi beberapa asakan namun ketangkasan penjaga gol Pulau Pinang, Fahmi Ali menyelamatkan gawang daripada dibolosi lawan.
Selangor lebih banyak mendominasi perlawanan berbanding Pulau Pinang yang lebih banyak bertahan daripada mencatur serangan ke kubu pelawat. Hantaran-hantaran anak didik Abdul Gaffar Hossen juga banyak tersekat di tengah gelanggang.
Minit ke-7, pelawat berjaya mendahului perlawanan hasil jaringan Azri Rahman selepas menerima hantaran kemas Syed Aizat dari sebelah kiri gawang gol untuk menewaskan Fahmi Ali.
Selangor kian bernafsu memburu gol menerusi beberapa asakan ke gawang tuan rumah menerusi percubaan Syed Aizat dan juga Shamsul Akmar namun gagal mengegar gawang tuan rumah.
Pulau Pinang cuba bangkit menyerang kubu pelawat namun ketumpulan jentera serangan menghampakan mereka seperti percubaan deras Hafiz Ajaz di minit ke-10 termasuk sepakan penalti oleh Ikhmal Kamaruzaman seminit kemudian.
Minit ke-12, Selangor menambah koleksi jaringan gol menerusi Akmal Hakimi menerusi asakan pantas dan tiga minit berselang, Azri Rahman berjaya menghasilkan gol kedua peribadi serta gol ketiga pelawat hasil gerakannya bersama Shamsul Akmar.
Ketangkasan penjaga gawang Selangor, Azrul Hadee yang baharu menerima panggilan skuad kebangsaan dan kekebalan benteng Selangor yang diketuai kapten, Fariq Mohammad menafikan peluang buat Pulau Pinang untuk bangkit mengejar.
Faris Johan mensia-siakan peluang untuk Selangor menambah gol apabila gagal menyudahkan penalti yang diperolehi pada minit ke-16 dengan rembatan yang sekadar mengegar palang gol.
Minit ke-18, penjaga gawang, Fahmi Ali sekali lagi melepaskan gol apabila gagal menyelamatkan percubaan jarak dekat Hafiz Ramle di sebelah kanan gawang untuk gol ke-4 buat Selangor.
Dominasi Selangor berterusan di babak kedua dan di minit ke-24, Fahmi Ali telah dipaksa untuk membuat dua saves percubaan deras pelawat menerusi Azri Rahman dan Shamsul Akmar.
Sekali sekala, tuan rumah cuba bangkit menyusun serangan dan peluang terbaik Pulau Pinang gagal disudahkan dengan jaringan apabila percubaan Iqhmal Najmie sekadar singgah di palang disusuli rembatan deras Hanis Izzuddin yang tersasar.
Jaringan kelima Selangor hadir di minit ke-29 menerusi sepakan percuma Syed Aizad dari sebelah kiri gol yang langsung gagal dibaca penjaga gol gantian Pulau Pinang, Faezwan Ashwandie.
Bagaikan tiada belas ehsan buat tuan rumah, Selangor berterusan menerkam dan menghasilkan gol ke-6 perlawanan pada minit ke-31 hasil jaringan Sufri Shamil menerusi sepakan penalti. Bermula disini, pelawat mula mengendur asakan ke kubu tuan rumah.
Hasilnya, Pulau Pinang dilihat mula boleh mencatur gerakan dan sedikit mengecewakan apabila sekali lagi mensia-siakan peluang untuk sekurang-kurangnya menjaringkan satu gol apabila kapten, Haziq Yusoff gagal menjaringkan gol menerusi penalti.
Kemenangan ketiga Selangor ini membolehkan mereka terus menerajui carta liga dengan 9 mata dan ini merupakan rekod kemenangan terbesar dalam saingan liga.
Pemain terbaik perlawanan: Azri Rahman (Selangor)
Kredit foto: Selangor MAC Futsal