Quantcast

MPFL

MPFL 2019: Jaringan Tunggal Amirul Ismail Hadiahkan Kemenangan Kedua Buat Pulau Pinang

Jaringan tunggal Muhammad Amirul Ismail pada babak pertama sudah cukup untuk menghadiahkan kemenangan 1-0 buat Pulau Pinang keatas Melaka pada aksi Liga Premier Futsal Malaysia 2019 di Kompleks Sukan Negara Panasonic, Shah Alam, sebentar tadi.

Melaka yang turun selaku tuan rumah bermula dengan meyakinkan hasil beberapa percubaan kearah gawang Pulau Pinang dilancarkan terutamanya menerusi rembatan Mohamad Danial Abdul Dain yang terkena tiang gol.

Namun, skrip berbeza selepas itu apabila Pulau Pinang pula dilihat mula menjelmakan corak permainan lebih tersusun dalam usaha mereka memburu jaringan.

Kegigihan anak buah Abdul Gaffar Hossen itu menceriakan kem Pulau Pinang apabila Muhammad Amirul berjaya memisahkan kedua-dua pasukan pada minit ke-11.

Amirul yang menerima hantaran lintang cantik daripada Muhammad Syafiq Abdul Rasyid tidak menunggu lama bagi melakukan percubaan sekaligus menewaskan Syahman Idris di gawang Melaka.

Kedudukan 1-0 tersebut kekal hingga tamat separuh masa pertama untuk memberikan kelebihan tipis buat skuad dari Utara tanah air itu.

Memasuki babak kedua, Melaka tampil lebih bersemangat dengan pelbagai variasi serangan dijelmakan bagi kembali menyamakan kedudukan.

Penjaga gol Pulau Pinang, Mohamad Idham Osman bagaimanapun memainkan peranan yang cukup penting dalam menggagalkan usaha Melaka untuk sekurang-kurangnya meraih keputusan seri.

Idham jelas sekali begitu tangkas menafikan percubaan yang diledakkan gandingan peledak berbahaya Melaka iaitu Danial Dain, Muhammad Ekmal Shahrin dan Muhd Saad Abd. Sani.

Kecemerlangan itu turut menobatkannya selaku pemain terbaik perlawanan yang membolehkan penjaga gol tersebut membawa pulang kasut futsal jenama Joma yang berharga RM500.

Kemenangan 1-0 itu merupakan kemenangan kedua buat Pulau Pinang untuk mengumpul tujuh mata bagi menduduki tangga keempat buat seketika.

Pemain terbaik perlawanan: Mohammad Idham Osman (Pulau Pinang)

Kredit foto: FA Penang