MPFL 2019: Hanya 300 Penyokong Boleh Ditampung Kompleks Sukan Azman Hashim USM

Penyokong

Jika anda adalah salah seorang penyokong yang hadir ke Kompleks Sukan Azman Hashim Universiti Sains Malaysia (USM) pada Rabu lalu untuk menyaksikan perlawanan antara Pulau Pinang dan Kuala Lumpur, pastinya ada sesuatu yang menganggu fikiran anda.

Limpahan penyokong yang hadir telah menyebabkan majoritinya tidak dapat menyaksikan perlawanan tersebut dan penulis adalah salah seorang yang terpaksa menyaksikan aksi dari celahan kepala para penyokong yang berdiri di belakang tempat duduk.

Dan untuk pengetahuan semua, yang berdiri ada 3, 4 lapisan! Anda boleh bayangkan betapa sesaknya kompleks sukan tersebut.

Stadium Tertutup SUKPA pegang rekod

Tidak dinafikan, sukan futsal di negara kita kian meningkat dan minat di kalangan rakyat semakin tertumpu kepada sukan ini. Oleh itu, sambutan edisi sulung Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL 2019) juga dilihat sangat memberangsangkan dan menggalakkan.

Untuk MPFL 2019, terdapat 6 buah gelanggang digunakan oleh 9 pasukan bertanding iaitu:

  • Kompleks Sukan Negara Panasonic, Shah Alam
  • Stadium Indera Mulia, Ipoh
  • Stadium Tertutup SUKPA, Kuantan
  • Kompleks Sukan Azman Hashim USM, Pulau Pinang
  • Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar
  • Stadium Negeri, Kuala Terengganu
SUKPA Kuantan
FOTO: Pahang Rangers FC

Dan menurut laporan Arena Futsal Malaysia, kehadiran di semua lokasi pertandingan sangat memberangsangkan. Berikut adalah antara jumlah yang telah diumumkan oleh portal tersebut:

  • Stadium Indera Mulia, Ipoh (1000 penyokong)
  • Stadium Tertutup SUKPA, Kuantan (2400 penyokong)
  • Kompleks Sukan Azman Hashim USM (500 penyokong)
  • Stadium Negeri, Kuala Terengganu (1200 penyokong)

Melebihi kapasiti

Jika diperhatikan pada statistik yang diberikan oleh Arena Futsal Malaysia, Kompleks Sukan Azman Hashim USM merekodkan jumlah kehadiran penyokong paling sedikit, namun bagi penulis 500 penyokong itu sebenarnya telah melebihi kapasitinya.

Menurut Pegawai Tadbir Pengurusan Skuad Futsal Pulau Pinang, Mohd Shaiful Salleh, kapasiti kompleks sukan itu hanya mampu menampung sehingga 300 penyokong pada satu-satu masa.

Ketika dihubungi Semuanya BOLA, Shaiful menjelaskan yang ia sebenarnya diluar jangkaan mereka. Kehadiran para penyokong pada perlawanan pertama sangat menggalakkan dan begitu positif sehingga kawasan penyokong menjadi terlalu padat dan sesak.

Stadium USM MPFL
FOTO: Liga Futsal Pulau Pinang

“Untuk perlawanan seterusnya, pihak pengurusan menjangkakan kehadiran penyokong akan lebih ramai daripada yang sebelum ini kerana ia akan dilangsung pada hari Ahad, jam 5.00 petang.

“Pihak pengurusan telah mendapat kerjasama yang baik daripada pengurusan USM tempohari dimana kita telah menempatkan 16 anggota keselamatan dari USM. Jadi, untuk kawal selia kebanjiran penyokong selepas ini, kami bersedia untuk menambah kekuatan anggota keselamatan tersebut,” tambahnya lagi.

Jualan tiket selesaikan masalah?

Tiada bayaran tiket dikenakan pada perlawanan menentang Kuala Lumpur tempohari. Adakah ini yang menyebabkan kebanjiran penyokong kerana tiada kawalan terhadap jumlah kehadiran?

Jika diamati, hampir semua lokasi pertandingan mengenakan bayaran tiket walaupun kapasiti gelanggang pertandingan itu besar. Jadi, mungkin ini adalah langkah penyelesaian yang dapat dilaksanakan jika mahu mengelakkan kebanjiran penyokong.

Bukan mahu menyekat semangat dan sokongan para penyokong namun perlu difikirkan juga soal keselamatan dan keselesaan. Apa gunanya jika langsung tidak dapat menyaksikan perlawanan dan hanya berdiri sambil menanti sorakan rakan-rakan lain?

“Perbincangan untuk perlawanan kali ini (menentang Selangor) di peringkat akhir untuk memutuskan samada pihak pengurusan akan mengenakan bayaran tiket ataupun tidak. Sekiranya penjualan tiket dilaksanakan, tiket yang dijual akan terhad untuk beberapa jumlah.

Pengurusan Futsal Pulau Pinang
Mohd Shaiful Salleh (lima dari kiri). FOTO: Mohd Shaiful Salleh

“Pihak pengurusan akan merencanakan satu pelan terbaik buat penyokong supaya dapat sama-sama berada di USM untuk menyaksikan perlawanan,” jelas Shaiful lagi sambil percaya yang sokongan tidak berbelah bahagi akan diberikan oleh penyokong.

Lebih luas, lebih meriah

Bagi penyokong setia Pulau Pinang yang mahu dikenali sebagai Amy Don, perlawanan menentang Kuala Lumpur tempohari amat meriah baginya walaupun berdepan kesulitan untuk mendapatkan tempat duduk. Dan bukan hanya dirinya, ramai juga yang terkesan.

“Setakat ini okay dan meriah,” ujarnya ketika Semuanya BOLA bertanyakan mengenai sambutan pada perlawanan tersebut.

“Cuma tempat duduk macam grandstand padat. Kalau lagi luas tempat penyokong, pasti lebih meriah,” ujarnya yang sentiasa mengikuti perkembangan futsal negeri dan juga negara.

Mungkin ada benar pendapat Amy Don mengenai ‘lebih luas, lebih meriah’. Pastinya ia juga akan memberikan keselesaan buat para penyokong. Namun, di Pulau Pinang, kompleks sukan untuk kegunaan sukan seperti futsal ini mungkin amat terhad.

Amy Don mengharapkan agar lebih ramai penyokong akan hadir pada perlawanan selepas ini menentang Selangor kerana berdepan pendahulu liga itu merupakan perlawanan yang sukar dan pastinya pemain mengharapkan sokongan penuh para penyokong.

Penutup

Walau apa pun keputusan pihak pengurusan Pulau Pinang untuk perlawanan Ahad ini, diharapkan ia akan mampu memberikan kepuasan kepada para penyokong disamping mahu memikat dan menarik lebih ramai penyokong untuk turun ke USM selepas ini.

Keselesaan dan keselamatan wajar menjadi keutamaan pihak pengurusan dan mungkin solusi lain perlu difikirkan jika kebanjiran penyokong berlaku lagi selepas ini. Pastinya kehadiran penyokong lebih ramai mampu membantu menaikkan moral para pemain.

Kapasiti terhad lokasi perlawanan ini boleh menyekat minat penyokong untuk hadir memberikan sokongan namun pastinya akan ada jalan penyelesaian kepada permasalahan ini nanti.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN