Kebangkitan pada babak kedua dijelmakan Pulau Pinang berjaya mengelakkan tuan rumah itu dari menerima kekalahan selepas terikat 3-3 ketika bertemu Kuala Lumpur dalam aksi minggu kedua Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL 2019) di Kompleks Sukan Azman Hashim Universiti Sains Malaysia (USM), lewat petang semalam.
Ketinggalan 0-2 dan kemudian 1-3 tidak menggangu fokus dan rentak skuad kendalian Abdul Gaffar Hoosen untuk bangkit memburu gol dan jaringan Haziq Yusoff di minit ke-34 telah menghadiahkan 1 mata berharga buat Pulau Pinang.
Kemenangan selesa yang diraih pada minggu pertama di Kompleks Sukan Panasonic tidak menjamin laluan mudah akan diberikan apabila pelawat terlebih dahulu mendahului perlawanan menerusi jaringan Ilyasha Alimin seawal minit ke-4 perlawanan.
Pemakai jersi nombor 5 Kuala Lumpur itu telah membuat larian solo untuk menewaskan seorang pemain sebelum rembatannya gagal ditampan kemas oleh penjaga gawang, Idham Osman.
Pulau Pinang tampak gugup beraksi di laman sendiri dengan para penyokong memenuhi segenap ruang di Kompleks Sukan tersebut sejak dari awal petang bagi menyaksikan sendiri aksi para pemain mereka yang telah meraih kemenangan bergaya tempohari.
Minit ke-10, Pulau Pinang terus tertekan apabila hasil umpanan kemas kapten pasukan, Hazizi Mansor telah berjaya disudahkan dengan rembatan deras kaki kiri Mulhim Muqri dari sudut kiri gol untuk membolehkan Kuala Lumpur mendahului dua gol.
Begitupun, tidak sampai seminit, Pulau Pinang kembali bangkit mengejar kedudukan apabila Amirul Ismail berjaya meledak gol pertama tuan rumah menerusi hantaran-hantaran pantas antara Haziq Yusoff, Iqhmal Najmie dan Amirul Ismail.
8 minit berselang, Kuala Lumpur menambah koleksi gol menerusi jaringan kapten pasukan, Hazizi Mansor yang berjaya memperdaya Azfar Azli yang mengawalnya sebelum melepaskan rembatan deras dari sudut kiri gawang tuan rumah hasil umpanan Ilyasha Alimin.
Sepertimana aksi pada minggu pertama, Pulau Pinang bangkit di babak kedua. Ia kini umpama treadmark buat Pulau Pinang untuk bangkit namun kali ini ia tidak cukup untuk meraih 3 mata.
Kali ini Pulau Pinang tampil lebih yakin dan menekan pelawat hampir setiap masa dan setiap sudut menerusi percubaan demi percubaan namun masih gagal untuk mengegar jaring gol.
Kompleks Sukan kembali bergema apabila Fakhrul Islam berjaya merapatkan jurang gol di minit ke-27 apabila hantaran Amirul Ismail berjaya disudahkannya betul-betul di depan gawang lawan.
Dan, bermula daripada sepakan sudut yang diambil oleh Fahmi Ali dan kapten, Haziq Yusoff akhirnya berjaya meledak gol ketiga dan penyamaan Pulau Pinang, menewaskan Alif Haiqal menerusi tandukkannya enam minit sebelum perlawanan ditamatkan.
Pemain terbaik perlawanan: Mulhim Muqri (Kuala Lumpur)