Quantcast

BERITA

MPFL 2019: Abdul Gaffar Yakin Pulau Pinang Sebenarnya Mampu Bersaing Dengan Selangor

Pengendali Pulau Pinang, Abdul Gaffar Hoosen menjelaskan kepada Semuanya BOLA yang skuadnya mampu memberi saingan kepada Selangor jika tidak melakukan kesilapan di babak pertama.

Selaku tuan rumah, Pulau Pinang telah mensia-siakan peluang untuk meraih tiga mata penuh apabila ketinggalan empat gol di babak pertama seterusnya menganggu rentak permainan.

Selangor mendahului aksi babak pertama menerusi dua jaringan pemain terbaik perlawanan, Azri Rahman dan satu gol masing-masing menerusi Akmal Hakimi dan juga Hafiz Ramle.

Selain sentuhan penyudah yang tumpul, Pulau Pinang juga dilihat bermasalah dalam melakukan hantaran untuk melepasi kawasan tengah apatah lagi untuk mengasak ke kubu pelawat.

“Sebenarnya, kalau kita tidak membuat kesilapan awal, kita boleh bersaing (dengan Selangor). Bila kita buat kesilapan, jurang itu sudah menjadi semakin besar,” ujar Abdul Gaffar Hoosen yang jelas kecewa dengan kekalahan besar yang diterima skuadnya.

“Memang pemain Selangor bagus dan berbakat. Pemain mereka juga mampu menyerap tekanan dan juga sangat bersedia. Tapi, kalau kita tidak kena empat gol awal tadi, aksi akan jadi lain.

“Masalahnya kita yang bagi gol (kepada lawan). Pemain buat kesilapan mudah. Macam gol pertama, hantaran yang berjaya dipintas di tengah. Gol kedua, kesilapan pemain memberi ruang kepada lawan untuk melepaskan rembatan,” jelasnya lagi.

MPFL 2019 Pulau Pinang Selangor

FOTO: Arena Futsal Malaysia

Menurutnya, kegagalan mengikut arahan barisan kejurulatihan untuk sentiasa memintas awal sebelum lawan melakukan rembatan juga adalah salah satu penyumbang kepada kekalahan ini.

Pengendali yang pernah menuai pingat emas bersama Pulau Pinang dalam acara futsal di Sukan Malaysia (SUKMA) 2013 itu turut menjelaskan kepada Semuanya BOLA yang moral pasukan menurun selepas ketinggalan dengan jurang gol yang kian besar.

“Taktikal yang kita guna memang untuk tekan lawan sebab kita tengok cara mereka bermain yang bagus dari segi positioning dan ball possession. Jelas, Selangor memang bagus dari segi taktikal dan nampak mental mereka juga kuat,” tambahnya lagi.

“Babak pertama memang kita ketinggalan, tetapi pemain masih bersaing tetapi lepas itu, moral pemain mula merundum. Itu yang kita rasa sedikit kecewa. Moral semakin menurun kerana mereka rasa segalanya sudah berakhir,” ulasnya mengenai moral pemain.

Dua gol Selangor di babak kedua dihasilkan menerusi sepakan percuma Syed Aizad dan penalti yang disempurnakan oleh Sufri Shamil untuk melengkapkan kemenangan bergaya mereka.

Selangor terus menerajui takhta liga dengan 9 mata maksimum daripada tiga kemenangan yang diraih sementara Pulau Pinang pula turun ke kedudukan kelima MPFL 2019 dengan merekodkan jumlah bolos terbesar bersama KL City iaitu 17 gol setakat ini.

Kredit Featured Image: FA Penang