Selepas beberapa masalah dihadapi melibatkan Scottish Professional Football League (SPFL) dan Serie A, syarikat hak media dan perniagaan sukan, MP & Silva kini berdepan satu lagi kesulitan.
Ini kerana pasukan Liga Perdana Inggeris, Arsenal telah membuat keputusan bagi menamatkan kontrak kerjasama melibatkan syarikat berpengkalan di London itu.
Keputusan itu terpaksa dilakukan selepas Arsenal melihat masalah kewangan syarikat tersebut berada dalam keadaan yang membimbangkan.
Terdapat laporan di Barat menyatakan syarikat mereka juga kini telah diserbu.
Menurut sumber Sportspro, kenyataan rasmi dari kelab yang dikenali sebagai The Gunners tersebut telah mengumumkan penamatan kerjasama itu dengan serta merta.
Arsenal turut menegaskan bahawa pihak mereka kini akan berurusan secara langsung dengan penyiar global bagi menjual hak media mereka untuk musim 2018/19.
Ia merangkumi siaran ulangan penuh bagi setiap perlawanan liga dan rancangan berkonsepkan majalah (magazine show).
Arsenal menambah bahawa perubahan dalam pendekatan itu jelas tidak akan menjejaskan pengedaran dan kewujudan mereka di pasaran antarabangsa.
Para peminat di seluruh dunia masih mempunyai akses untuk menyaksikan setiap ulangan perlawanan bersama-sama dengan Arsenal World dan 360.
Pada penghujung bulan lalu, MP & Silva dibawa ke muka pengadilan oleh pasukan-pasukan di Serie A apabila gagal melunaskan pembayaran hak berjumlah sehingga €38 juta dan awal minggu ini pula, SPFL juga telah memutuskan hubungan dengan syarikat tersebut.
Foto: arsenal.com