Jose Mourinho menolak kritikan pedas yang dilemparkan oleh bekas pemain tengah dan legenda Manchester United, Paul Scholes terhadap Paul Pogba.
Malah pengendali daripada Portugal itu kali ini mempertahankan prestasi pemain antarabangsa Perancis itu sambil menyifatkan prestasi Pogba ketika membantu United menewaskan Bournemouth awal pagi tadi sebagai mengkagumkan.
Pogba menghasilkan satu bantuan gol untuk jaringan Romelu Lukaku pada babak kedua perlawanan untuk menewaskan Bournemouth 2-0.
Satu lagi jaringan United, dijaringkan oleh Chris Smalling pada separuh masa pertama, selepas gerakan menarik Jesse Lingard.
Selepas tewas 0-1 kepada West Brom pada Ahad lalu, Scholes menyifatkan aksi Pogba sebagai ‘tidak menghormati’ kedudukan Mourinho selaku pengurus pasukan.
Namun Mourinho menolak andaian itu. Sebaliknya beliau memuji tindak balas oleh Pogba selepas prestasi buruk pemain itu pada hujung minggu lalu.
Ketika ditanya mengenai kritikan Scholes tersebut Mourinho berkata:
“Saya tidak bersetuju dengan andaian tersebut. Saya bersetuju Pogba menampilkan aksi buruk ketika menentang West Brom. Dan saya hanya bersetuju untuk itu.”
Mourinho melakukan tujuh perubahan di dalam kesebelasan utama dalam perlawanan pada awal pagi tadi, berbanding pasukan yang tewas kepada West Brom.
Namun Pogba yang memulakan perlawanan sejak sepak mula sebelum digantikan dengan Daley Blind pada minit ke-80 perlawanan beraksi dengan lebih baik kali ini.
Ketika ditanya mengenai prestasi Pogba selepas United menewaskan Bournemouth, Mourinho berkata:
“Persembahan yang mengkagumkan. Prestasi ketika menentang Manchester City adalah istimewa kerana beliau menjaringkan dua gol.”
“Tetapi prestasi Pogba sebentar tadi juga berada pada tahap yang sama. Ia adalah persembahan yang mengkagumkan, dan beliau sememangnya boleh melakukannya.”
Walaupun Manchester United kembali ke landasan kemenangan, ia belum cukup untuk memadam kekecewaan Mourinho terhadap kekalahan mengejutkan terhadap West Brom.
Walaupun masih mengenang kekalahan tersebut, Mourinho tetap optimis United mampu bersaing dengan Manchester City untuk kejuaraan pada musim hadapan.
“Wajah saya pada hari ini ialah wajah Ahad lalu, dan bukan seperti wajah seseorang yang baharu menamatkan perlawanan dengan kemenangan.”
“Saya masih merasa keperitan dan emosi daripada kekalahan pada Ahad lalu.”
“Saya tahu bagaimana untuk memenangi kejuaraan. Mungkin ada di antara anda yang tidak menyedari bahawa saya adalah pengurus yang memenangi lapan kejuaraan di empat negara berbeza.”
“Saya boleh tahu mengapa sesebuah pasukan boleh bergelar juara. Saya juga tahu apa kelemahan jika gagal bergelar juara.”
“Saya tidak pernah ragu akan kualiti yang dimiliki oleh Manchester City, dan mereka layak bergelar juara kerana mereka adalah pasukan yang lebih baik musim ini.”
“Namun dengan kualiti yang ada, kami juga sepatutnya mengumpul 10 mata lebih daripada apa yang kami miliki pada hari ini,” jelas Mourinho.
Selepas mengukuhkan kedudukan mereka di tangga kedua EPL di hadapan Liverpool, tumpuan Mourinho dan Pogba akan beralih ke Wembley untuk saingan peringkat separuh akhir Piala FA menentang Tottenham Hotspur pada Sabtu akan datang.