Paul Pogba akan beraksi untuk Manchester United menentang West Ham pada hari ini tetapi Jose Mourinho mempunyai mesej untuk disampaikan untuk pemain itu: ‘tidak ada pemain yang lebih besar daripada kelab di Manchester United.’
Pada pertengahan minggu lalu sebuah video berdurasi 2 minit oleh Sky Sports mengenai pertengkaran membabitkan kedua-dua individu tersebut ketika sesi latihan telah tular.
Mourinho sebelum itu berkata hubungan beliau dengan Pogba adalah baik walaupun selepas mengesahkan pemain itu tidak akan beraksi sebagai kapten pasukan pada masa depan.
“Esok (hari ini) Pogba akan turun beraksi. Beliau adalah seorang pemain seperti mana anggota pasukan yang lain,” ujar Mourinho ketika sidang media menjelang perlawanan bertemu West Ham.
“Tidak ada pemain yang lebih besar daripada kelab. Jika saya gembira dengan hasil latihan, maka beliau akan beraksi. Jika tidak, maka beliau tidak akan beraksi.
“Saya berpuas hati dengan apa yang beliau lakukan pada minggu ini. Pogba berlatih dengan keras. Pasukan ini memerlukan pemain yang bagus. Pogba ialah pemain yang bagus,” ujar Mourinho.
Mengenai kejadian di padang latihan tersebut dan impak kepada pasukan, Mourinho berkata:
“Manchester United adalah kelab yang lebih besar dari semua orang. Saya harus pertahankan itu,” tambah beliau.
Mourinho turut menjelaskan bagaimana Pogba dilucutkan peranan sebagai kapten kedua pasukan.
“Saya telah menjelaskan setiap perkara secara terperinci kepada mereka yang terlibat, iaitu kepada seluruh pasukan dan juga kepada Pogba.
“Selepas beberapa minggu melakukan kerja analisis dan bertukar pendapat bersama staff kejurulatihan yang lain, kami memutuskan Pogba sekarang hanyalah pemain biasa dan bukan lagi kapten pasukan,” jelas Mourinho.
Ditanya oleh wartawan sama ada beliau sengaja mencetuskan provokasi terhadap Pogba walaupun menyedari kehadiran kamera dan wartawan, Mourinho berkata:
“Saya tidak pernah peduli mengenai kamera. Apakah provokasi yang dimaksudkan? Tidak ada provokasi yang berlaku.
“Tidak ada pemain lain yang berlatih sekeras Pogba pada Selasa, Rabu, dan Khamis.
“Anda yang membuat cerita tersebut, dan ia cerita yang hebat walaupun anda hanya menghadiri sesi latihan selama 15 minit.
“Saya bercakap kepada pemain pemain setiap hari, dan berulang kali. Tidak ada masalah apabila saya mengkritik pemain, atau jika perlu menjerit untuk memberikan arahan kepada mereka ketika latihan. Ia berlaku setiap hari.
“Itulah maknanya latihan. Tetapi anda membuat cerita mengenainya. Kerana itu saya gembira peraturan untuk media menghadiri sesi latihan dihadkan hanya kepada 15 minit, sekali sebulan.
“Jika ianya terpulang kepada saya, anda tidak akan mendapat peluang langsung untuk menghadiri sesi latihan terbuka seperti itu. Langsung tidak akan mempunyai peluang,” tambah Mourinho yang tidak berpuas hati dengan andaian yang dilakukan media.