Pengurus Manchester United, Jose Mourinho mendedahkan bahawa pemain tengah kelab itu iaitu Michael Carrick akan bersara pada penghujung musim dan memainkan peranan sebagai jurulatih di kelab berkenaan.
Pemain berusia 36 tahun itu dipalit dengan beberapa siri kecederaan dan masalah kesihatan musim ini yang mengehadkan penampilannya kepada satu aksi saja iaitu pada September lalu bagi aksi Piala Liga menentang Burton.
Bekas pemain kebangsaan England itu turut menjalani prosedur kecil bagi mengatasi masalah di bahagian hatinya dengan Mourinho sebelum ini sudah pun mendedahkan Carrick akan ditawarkan jawatan di posisi kejurulatihan bersama skuad utama United jika dia berminat.
Mourinho percaya Carrick yang kembali menjalani latihan penuh akan kembali beraksi di atas padang pada babak kedua musim ini tetapi turut mengesahkan pemain tengah memberi petanda sedia memikul tanggungjawab berkenaan selepas kempen berakhir.
“Saya fikir dia akan kembali bermain,” kata Mourinho kepada wartawan, semalam. “Sudah beberapa bulan dia tidak menjalani latihan jadi dia sekarang sudah memasuki minggu kedua latihan bersama pasukan.
“Dia boleh menjadi pemain yang amat penting bagi kami. Saya fikir keputusannya untuk (bersara) pada penghujung musim ini dan bukannya pada minggu lalu.
“Saya fikir ia adalah keputusan yang baik untuk pasukan dan juga keputusan baik untuknya untuk menamatkan permainannya kerana dia bukannya cedera atau berdepan beberapa masalah.
“Jadi, kami semua gembira dan pada penghujung musim ini, saya menjangkakan dia akan menyertai (staf), kecuali dia mengubah keputusannya.”
Mourinho yang bersedia untuk menandatangani kontrak lanjutan sebagai pengurus United tampak sudah bersedia untuk mengemukakan perancangannya pada musim panas ini di Old Trafford.
Dan pengurus dari Portugal itu mengakui pemburuan United terhadap Alexis Sanchez dan cadangan membabitkan Henrikh Mkhitaryan ke Arsenal adalah sesuatu di luar norma buatnya.