Romelu Lukaku menjaringkan gol pertama perlawanan dalam kemenangan 1-2 ke atas West Bromwich Albion di The Hawthorns dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) pada malam tadi.
Dan Jose Mourinho berpendapat penyerang antarabangsa Belgium itu enggan meraikan gol tersebut kerana menghormati lawan, di mana Lukaku pernah beraksi secara pinjaman daripada Chelsea satu ketika dahulu.
Lukaku melonjak tinggi untuk menyambut hantaran lintang Marcus Rashford untuk menewaskan Ben Foster untuk Manchester United mendahului 0-1 pada minit ke-27 perlawanan.
Gol kedua Manchester United dijaringkan 8 minit selepas itu oleh Jesse Lingard untuk anak buah Jose Mourinho selesa mendahului 0-2 sebelum babak pertama perlawanan berakhir.
Seperti ketika beliau menjaringkan gol tunggal dalam kemenangan menentang Bournemouth pada pertengahan minggu lalu, Lukaku turut tidak meraikan gol jaringannya dalam perlawanan pada malam tadi.
Keengganan Lukaku untuk tidak meraikan jaringannya turut mengundang kritikan daripada penyokong dan juga beberapa pemerhati bola sepak Inggeris.
Ada yang berpendapat Lukaku masih lagi kecewa akan kritikan yang dilontarkan kepadanya setelah gagal menghasilkan jaringan dalam beberapa perlawanan sebelum ini.
Namun Mourinho mempunyai teorinya yang tersendiri mengapa Lukaku memilih untuk tidak meraikan gol dalam perlawanan menentang West Brom.
“Saya juga tidak meraikannya. Percayalah. Tidak ada orang lain yang lebih gembira daripada saya melihat jaringan tersebut.”
“Saya melihat bagaimana diri saya meraikan gol pada 15 tahun yang lalu. Apabila anda semakin matang, anda akan mulai mengawal emosi dengan lebih baik.”
“Romelu (Lukaku) adalah seorang pemain yang menakjubkan ketika bersama West Brom pada musim 2012-13. Di dalam ingatan dan pemikiran beliau, pasti masih ada perasaan sayang dan hormat akan kelab tersebut,” jelas Mourinho
Selepas tampil dengan permulaan yang cemerlang bersama Manchester United di awal musim, menyaksikan Lukaku menghasilkan 6 gol daripada 7 penampilan pertama di saingan EPL, prestasi Lukaku turut menerima kecaman apabila hanya berjaya menjaringkan 2 gol daripada 10 penampilan selepas itu.
Malah segelintir penyokong dan penganalisa turut menuding jari kepada Lukaku di atas kekalahan 1-2 ke atas Manchester City dalam perlawanan derbi Manchester pada minggu lalu.
Untuk itu, bekas pemain Manchester United di antara 1994 sehingga 2005, Phil Neville mempunyai pandangan beliau tersendiri ketika berbicara kepada Sky Sports.
“Saya yakin Lukaku masih terkesan dengan kekalahan ke atas Manchester City pada ahad lalu. Lukaku melalui perlawanan yang sukar dan prestasi yang mengecewakan.”
“Selepas apa yang berlaku ketika menentang City, dan menilai keseluruhan prestasi pasukan, mungkin ia adalah wajar untuk tidak meraikan jaringan gol,” ujar Neville ketika mengulas reaksi Lukaku selepas tidak menjaringkan gol ketika menentang Bournemouth.
“Kekalahan kepada Manchester City pada minggu lalu, jelas memberi kesan mendalam kepada seluruh Old Trafford. Ia adalah satu kekecewaan yang mendalam,” tambah Neville lagi.
Bagaimanapun Neville turut bersimpati akan Lukaku yang menjadi mangsa kritikan, dan percaya pemain tersebut tidak harus dipersalahkan 100% atas kekalahan kepada lawan setempat mereka itu.
“Adakah Lukaku mendapat sokongan yang sewajarnya daripada rakan sepasukan di dalam perlawanan tersebut? Adakah Manchester United menghasilkan cukup peluang untuk disudahkan oleh Lukaku?”
“Pada akhir musim, pemain seperti Lukaku akan menjaringkan 20 sehingga 25 gol. Namun demikian, ramai hanya ingin menilai kelemahan dan kesilapan, berbanding apa yang disumbangkan oleh beliau,” jelas Neville sambil mempertahankan Lukaku.
Selepas kecewa tewas dalam perlawanan menentang Manchester City pada minggu lalu, Manchester United mulai bangkit dengan 2 kemenangan, masing-masing ke atas Bournemouth dan juga West Brom.
Selepas ini anak buah Jose Mourinho akan berhadapan dengan Bristol City dalam pertandingan Piala Carabao, sebelum bertandang ke King Stadium, untuk berhadapan dengan anak buah Claude Puel, Leicester City pada sabtu akan datang.
Selepas 18 perlawanan, Manchester United kekal di tangga kedua kedudukan EPL, 11 mata di belakang pendahulu Manchester City, dan berkelebihan 3 mata di hadapan Chelsea di kedudukan ketiga liga.