Jose Mourinho telah menangkis segala spekulasi bahawa beliau akan kembali menyertai Real Madrid. Sebaliknya pengendali dari Portugal itu berkata beliau mahu kekal di Old Trafford melangkaui kontrak semasa.
Sebelum ini terdapat laporan dari media di Sepanyol mengaitkan pengendali Manchester United itu dengan jawatan pengurus di Santiago Bernabeu sekiranya Julen Lopetegui dipecat.
Bekas pengurus pasukan kebangsaan Sepanyol itu kini bergelut dengan prestasi pasukannya, setelah mengambil alih peranan pengendali dari Zinedine Zidane.
Terbaru, Real Madrid tewas 2-1 di tempat sendiri kepada Levante pada Sabtu lali. Kekalahan tersebut adalah yang ketiga secara berturut-turut buat juara eropah itu.
Mourinho sendiri berada di dalam tekanan selepas permulaan buruk Manchester United pada musim ini.
Bekas pengendali Chelsea dan juga Inter Milan itu bagaimanapun telah menandatangani sambungan kontrak pada Januari lalu untuk kekal bersama The Red Devils sehingga 2021.
“Masa depan saya ialah di sini,” ujar Mourinho ketika sidang media menjelang perlawanan peringkat kumpulan UEFA Champions League menentang Juventus pada awal pagi esok.
“Saya mempunyai kontrak di sini dan sehingga ke hari terakhir kontrak tersebut, saya hanya akan berfikir mengenai Manchester United.
“Dan saya mahu terus kekal berada di sini selepas kontrak ini tamat,” jelas Mourinho ketika menjawab soalan wartawan.
Menjelang perlawanan UEFA Champions League menentang Juventus, Mourinho mengesahkan Alexis Sanchez tidak akan berada di dalam skuad untuk perlawanan tersebut.
Marouane Fellaini, Jesse Lingard, Diogo Dalot, Scott McTominay dan Phil Jones juga tidak akan terlibat.
“Pemain yang anda lihat adalah pemain yang boleh beraksi. Saya tidak menyembunyikan apa-apa, dan Alexis [Sanchez] juga tidak akan beraksi,” ujar Mourinho mengenai skuad Manchester United yang akan mengekang Cristiano Ronaldo dan rakan-rakan di Old Trafford esok.