Menjelang pertemuan tumpuan Liga Perdana Inggeris di antara Manchester United menentang Chelsea malam ini, pengurus Manchester United, Jose Mourinho melahirkan keyakinan tinggi terhadap kemampuan penggempur utamanya, Romelu Lukaku di Old Trafford.
Walaupun Lukaku telah menjaringkan 21 gol musim ini namun begitu pemain Belgium itu masih gagal menjaringkan gol dalam 10 penampilan menentang lapan pasukan teratas liga musim ini.
Mourinho ternyata tidak begitu bimbang mengenai kemarau jaringan gol oleh Lukaku itu sebaliknya beliau yakin penyerang berbisanya itu akan merobek gawang Chelsea pada malam ini.
“Saya tidak bimbang kerana 21 gol yang dijaringkan bukanlah suatu yang teruk. Saya tidak mengukur keupayaan pemain saya seperti yang anda (wartawan) lakukan.
“Saya mempunyai beberapa analisis dan gembira dengan persembahan Romelu biarpun dia tidak menjaringkan gol,” katanya.
Pemain tengah United, Nemanja Matic turut senada dengan pengurusnya itu apabila berpendapat bahawa Lukaku mampu melakukan sesuatu pada aksi di Old Trafford.
“Romelu adalah penyerang yang baik. Sebagai pemain muda, bukan mudah untuk mengatasi situasi seperti ini kerana semua orang menjangkakan kamu mampu menjaringkan gol pada setiap perlawanan. Tidak mudah untuk berurusan dengan jangkaan dan ramalan seperti itu.
“Namun, dia (Lukaku) sudah melakukan yang terbaik untuk dirinya dan pasukan ini. Dia memiliki kekuatan mental dan saya percaya dia akan terus menjaringkan gol selepas ini,” jelasnya.
Dalam pada itu, Matic turut memberi sokongan kepada rakan sepasukan baharunya, Alexis Sanchez yang sekadar menjaringkan satu gol dalam enam penampilan sejak berpindah dari Arsenal.
“Alexis sentiasa bekerja keras. Kami sangat gembira dia berada di sini kerana pemain yang berkualiti mampu melakukan sesuatu dalam setiap perlawanan.
“Dia sekali lagi akan menjadi tonggak penting kami ketika berdepan Chelsea dan sehingga penghujung musim,” ujarnya.