Jose Mourinho semalam berkongsi serba sedikit pelan taktikal yang dirancang beliau dalam pertemuan menentang Arsenal.
Jose Mourinho seringkali dikritik kerana pendekatan defensif beliau dalam perlawanan besar, terutama sekali berhadapan dengan pasukan seperti Arsenal. Sedangkan mereka ada kemampuan untuk menyerang.
Minggu lalu, legenda Manchester United, Eric Cantona sendiri mengkritik pendekatan Mourinho yang disifatkan tidak mencerminkan gaya permainan United sebenar.
Semalam, Arsene Wenger turut ditanya pandangan beliau, kemungkinan Manchester United akan datang ke Emirates dan ‘parking’ bas. Namun Wenger yakin kali ini, Manchester United tidak akan ‘parking’ bas.
Jose Mourinho seringkali menjadi sasaran media jika pasukan beliau bermain defensif berbanding dengan pengurus lain. Ini selepas peristiwa beliau menuduh Spurs ‘parking’ bas pada satu ketika dahulu.
Itulah yang menjadikan istilah ‘park the bus’ mulai tersebar di kalangan peminat bola sepak. Anda boleh baca artikel ini: Merungkai Kenapa Istilah Memarkir Bas (Park The Bus) Sinonim Dengan Mourinho
Semalam, dalam sidang media perlawanan, wartawan sempat bertanya tentang bayangan taktikal United di Emirates dalam perlawanan minggu ini.
Beliau berkata, kali ini Manchester United tidak akan bermain bertahan ataupun ‘parking’ bas ketika bertandang ke Emirates.
Mereka akan cuba menyerang habis-habisan jika ada peluang dan cuba bertahan dalam unit.
Mourinho memberikan bayangan mereka akan menyerang dengan 11 pemain termasuk dengan penjaga gol sekali.
“Apabila kami memiliki bola, kami akan menyerang dengan 11 pemain. Kenapa? Kerana penjaga gol kami pun perlu tahu di mana dia harus berada ketika kami ada bola dan menyerang.”
“Tetapi jika Arsenal datang menyerang, kami akan bertahan dengan 11 pemain. Segalanya bergantung kepada keadaan dan risiko di dalam perlawanan ini.”
“Ini kerana dalam bola sepak, ketika bertahan, semua harus terlibat. Ketika menyerang semua harus menyerang terutama sekali dalam bola sepak moden.”
“Penyerang saya harus tahu cara bertahan, dan ketika hilang bola. Bagi saya, benda ini mudah sahaja.”
Jose Mourinho tahu, Manchester United harus menang perlawanan ini untuk memastikan mereka tidak terlalu jauh jurang mata dengan Manchester City.
Arsenal pula berpeluang merapatkan jurang mata kepada 1 mata jika berjaya menang ke atas United.