Quantcast

BERITA

Mourinho: Gol Ke-4 Liverpool Bukti Barca Hilang Fokus, Bagaimana Valverde Nak Menjelaskannya?

Jose Mourinho mengkritik mentaliti para pemain Barcelona dan juga pengurusan pasukan oleh Ernesto Valverde.

Bekas pengendali Chelsea, Inter, Real Madrid dan Manchester United itu menganggap para pemain Barcelona hilang fokus teruk dalam perlawanan ini.

Mourinho mempersoalkan mentaliti para pemain Barcelona yang menjadi penyebab mereka tersungkur di tangan Liverpool selepas memiliki kelebihan 3 gol.

Selepas tamat perlawanan Mourinho memberikan contoh pada gol ke-4 Liverpool sebagai salah satu bukti jelas mental para pemain Barcelona sudah tidak berada di tahap sepatutnya.

Trent Alexander-Arnold memerangkap para pemain Barcelona dengan sepakan penjuru leret. Ketika itu para pemain Barcelona tidak seorang pun pergi menutup ruang di hadapan Arnold seperti kebiasaannya. Mereka sebaliknya terlena dan terleka.

Pemain Barca kelihatan terleka menganggap Arnold akan menyerahkan sepakan itu kepada Shaqiri. Pada detik itulah Divock Origi diberikan ruang sangat besar.

Mourinho berkata: “Jika kamu melihat gol ke-4 Liverpool, gol itu seperti tahap budak 14 dan 15 tahun. Mereka tertidur. Pemain yang masih budak-budak tidak ada mentaliti [yang kuat] di atas padang kerana fasa itu mereka masih belajar asas bola sepak.”

“Namun sekarang ini kita bercerita tentang pemain-pemain terbaik dunia melepaskan gol seperti itu. Jelas menunjukkan apa yang sedang berlegar di fikiran mereka.”

“Pada separuh masa pertama tadi saya cakap, jika Liverpool menjaringkan gol kedua, atmosfera di Anfield akan memberikan kesukaran kepada kamu. Sangat sukar untuk kamu bermain dalam atmosfera seperti itu.”

“Namun Barcelona ada ramai pemain terbaik dunia dan mereka sudah biasa hidup dalam habitat dan peringkat seperti itu. Mereka bersaing dengan Real Madrid, main final UCL dan bermain di separuh akhir setiap musim.”

Pada rehat separuh masa, Mourinho berkongsi pandangan beliau bahawa jangan sesekali membiarkan atmosfera Anfield bangkit. Barcelona patut cuba mendiamkan penyokong Liverpool dengan gol pembunuh. Beliau menceritakan pengalaman beliau berhadapan dengan ‘crowd’ di Anfield.

Mourinho kemudian menyatakan, pengurus Barcelona, Ernesto Valverde pastinya sukar untuk menjelaskan kepada peminat dan pengurusan tertinggi tentang kegagalan Barcelona selepas kekalahan ini. 2 kali Ernesto Valverde disingkirkan daripada kalah mati selepas mendahului 3 gol.

“Perkara seperti ini bagi saya sukar untuk kita jelaskan. Sukar untuk saya [sebagai pengurus] untuk percaya – pasukan saya menang 3-0 pada perlawanan pertama dan tewas 4-0 perlawanan kedua.”

“Saya juga menunggu penjelasan Valverde dan saya masih percaya, ianya bukan mudah untuk beliau jelaskan.”