Pengurus Manchester United, Jose Mourinho sekali lagi bersikap kritikal terhadap para pemainnya ketika bercakap kepada media.
Selepas perlawanan Premier League menentang Wolverhampton Wanderers, Mourinho membidas sikap sambil lewa para pemainnya ketika beraksi di Old Trafford.
Menurut laman Guardian, Mourinho membidas tindakan pemainnya yang tidak menunjukkan kesungguhan dalam usaha mendapatkan 3 mata.
Bagi beliau, para pemain Wolverhampton Wanderers dilihat lebih bersungguh-sungguh dalam usaha memenangi perlawanan tersebut.
Kata Mourinho, para pemain pasukan pelawat mempunyai mentaliti seperti bermain di perlawanan akhir Piala Dunia.
“Mereka (Wolverhampton Wanderers) bermain seperti mana cara yang saya mahukan iaitu seperti beraksi di perlawanan akhir Piala Dunia.”
“Itulah sikap yang saya mahukan dari pemain saya di setiap perlawanan. Tetapi kami tidak mempunyai sikap itu.”
Menurut Mourinho, sikap mahu menang itu adalah perkara asas dalam bola sepak dan tidak memerlukan pengalaman untuk memperolehnya.
“Ketika kecil, sikap inilah yang diterapkan ketika berada di akademi. Anda tidak perlukan pengalaman bermain di peringkat tertinggi untuk memperolehnya, ia merupakan satu peraturan asas dalam bola sepak.”
Dalam masa yang sama, Mourinho mengakui skuadnya mengalami keletihan selepas beraksi dalam perlawanan UEFA Champions League tempoh hari.
Malah beliau mengatakan skuadnya mengalami impak besar dari beraksi di atas padang tiruan ketika menetang BSC Young Boys.
Wolverhampton Wanderers berjaya mengikat Manchester United dalam aksi di Old Trafford yang menyaksikan Fred menjaringkan gol pertama beliau untuk kelab baharunya.
Joao Moutinho di separuh masa kedua kemudiannya menyamakan kedudukan untuk mencuri satu mata dari tempat lawan.