Perbalahan diantara pengurus Manchester United, Jose Mourinho dengan pengurus Chelsea, Antonio Conte berakhir selepas menyaksikan kemenangan United 2-1 di Old Trafford semalam.
Ia adalah kemenangan cukup berharga dan manis buat pengurus United, Jose Mourinho kerana bukan saja berjaya menewaskan bos Chelsea Antonio Conte, malah kembali memintas Liverpool di kedudukan kedua.
Jaringan daripada Romelu Lukaku dan Jesse Lingard ke atas Chelsea itu ditambah dengan kemenangan Tottenham Hotspur ke atas Crystal Palace menyaksikan The Blues tergelincir ke tangga kelima.
What a game.
What a win.
What a team! #MUFC pic.twitter.com/qYC4z0Eg3v— Manchester United (@ManUtd) February 25, 2018
Kedua-dua pengurus itu dilihat bersalaman sebelum dan selepas perlawanan yang menandakan mereka mahu berdamai dan menamatkan segala kontroversi.
Pertelagahan Mourinho dan Conte mencapai kemuncaknya bulan lalu apabila jurulatih Portugal itu memetik pertuduhan yang dibawa Persekutuan Bolasepak Itali pada 2012 bahawa Conte gagal melaporkan insiden mengatur perlawanan membabitkan kelab lamanya Siena pada musim 2010-11.
Conte yang pernah mengendalikan Juventus menerima hukuman awal penggantungan 10 bulan yang kemudiannya dikurangkan kepada empat bulan sebelum kes itu digugurkan pada 2016.
Conte membalasnya dengan memanggil Mourinho ‘lelaki kerdil’ namun kedua-duanya saling tersenyum sebelum perlawanan dan berdakapan selepas itu apabila United bangkit daripada ketinggalan untuk menang di Old Trafford hasil jaringan Romelu Lukaku dan Jesse Lingard.
“Saya fikir berjabat tangan tidak perlukan kata-kata.
“Saya fikir itulah yang mahu saya dan Antonio tunjukkan kepada semua.
“Berjabat tangan sebelum dan selepas perlawanan adalah satu contoh bahawa dalam bola sepak anda perlu teruskan kehidupan dan saling menghormati satu sama lain.
“Mourinho dan Conte bukan orang biasa dalam bola sepak. Kami mempunyai sejarah, imej dan saya gembira dengannya.” kata Mourinho.
Conte pula tidak berlebih-lebihan ketika ditanya sama ada dia dan Mourinho memutuskan untuk berdamai sebelum perlawanan itu.
“Dia mahu melihat kami berjabat tangan dan kami berdamai,” kata jurulatih Itali itu.
Full-time: Manchester United 2-1 Chelsea. #MUNCHE pic.twitter.com/jL10JPac9i
— Chelsea FC (@ChelseaFC) February 25, 2018
Mengulas mengenai kekalahan kepada United, Conte mengakui kecewa kerana akan memberi kesan kepada peluang mereka untuk layak ke UEFA Champions League.
“Sudah tentu kami kecewa. Kami memang sangat kecewa dengan kekalahan ini kerana 3 mata sangat diperlukan untuk mencerahkan peluang ke Champions League.
“Apabila kami bercakap mengenai kekalahan ini, anda pasti kecewa jika anda berada ditempat kami.
“Saya sudah berulang kali berkata, dalam liga ini mencari tempat ke Champions League bukan senang. Ianya tidak semudah itu kerana negara ini mempunyai liga dimana 6 pasukan terkuat akan memburu 4 tempat yang sama,” katanya.