Pengurus Manchester United, Jose Mourinho tidak akan menghalang Marcos Rojo dan Mateo Darmian untuk angkat kaki meninggalkan Old Trafford.
Demikianlah laporan yang disiarkan oleh ESPN, walaupun Mourinho dikatakan mahukan lebih kualiti di bahagian pertahanan pasukan kendaliannya itu ketika jendela perpindahan Liga Inggeris masih dibuka minggu lalu.
Dua pemain itu dikaitkan dengan perpindahan keluar dari Old Trafford, dengan Darmian dikatakan menarik minat dari Juventus, Napoli dan Inter Milan.
Manakala pemain pertahanan antarabangsa Argentina, Rojo turut dikaitkan dengan perpindahan ke Everton sebelum ini, dan masih berpeluang untuk menyertai Fenerbahce yang dikatakan masih berminat untuk mendapatkan khidmat pemain tersebut.
Bagaimanapun minat dari kelab Turki itu dikatakan akan bergantung kepada sejauh mana kemaraan mereka di saingan UEFA Champions League yang masih berada di pusingan kelayakan.
Sumber yang rapat dengan dua pemain tersebut di Manchester memberitahu ESPN, perpindahan kedua-dua pemain tersebut akan bergantung kepada pemain itu sendiri, sama ada mahu terus kekal sebagai pemain gantian atau berhijrah menyertai pasukan lain untuk mendapatkan lebih minit untuk beraksi.
Darmian adalah salah seorang pemain yang berada di dalam kesebelasan utama Manchester United dalam perlawanan pertama yang menyaksikan naib juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu menewaskan Leicester 2-1 dalam perlawanan pembukaan.
Bek kanan berusia 28 tahun itu dijangka akan kekal sebagai pilihan utama Mourinho di posisi tersebut sehingga Antonio Valencia atau pun Diogo Dallot pulih dari kecederaan masing-masing.
Rojo juga berkemungkinan akan mengambil keputusan untuk kekal, jika bersetuju untuk dijadikan pemain gantian kepada gandingan utama pertahanan tengah sedia ada.
Eric Bailly dan Victor Lindelof memulakan kempen Manchester United musim ini sebagai gandingan bek tengah. Selain dari dua pemain tersebut, Rojo turut harus bersaing dengan Chris Smalling dan Phil Jones untuk beraksi di dalam kesebelasan utama United.
Walaupun jendela perpindahan Liga Inggeris sudah ditutup pada Khamis minggu lalu, kelab-kelan Liga Inggeris masih dibenarkan menjual pemain mereka untuk menyertai kelab eropah yang lain.
Jendela perpindahan kebanyakkan liga utama di eropah akan ditutup pada 31 Ogos akan datang.