Manchester United pasti merindui khidmat pemain tengah berpengaruh mereka iaitu Paul Pogba yang terpaksa diketepikan akibat kecederaan yang dialami ketika saingan Liga Juara-Juara Eropah pada bulan September lalu.
Keadaan yang menyaksikan persembahan United sedikit terganggu dengan ketiadaan pemain antarabangsa Perancis itu. Berikutan ketiadaan Pogba, Jose Mourinho juga sering ditanyakan mengenai persoalan bilakah tonggak utama tersebut akan kembali bersama pasukan.
Mourinho kelihatan seperti tidak mempunyai jawapan yang konkrit untuk persoalan tersebut.
”Saya tidak mempunyai idea (bila Pogba akan kembali),” kata pengurus kelahiran Portugal itu selepas ditanya mengenai Pogba selepas kemenangan 1-0 keatas Tottenham Hotspur.
”Sejujurnya. Saya tidak mengawal proses pemulihannya. Dia tidak berlatih bersama saya. Dia sedang menjalani latihan secara individu dan saya tidak dapat meramal apabila pemain itu berada dalam latihan individu.
Mourinho turut menyifatkan keadaan Marcos Rojo dan Paul Pogba adalah berbeza.
”Saya dapat menjangkakan Marcos Rojo akan kembali selepas rehat perlawanan antarabangsa nanti kerana dia berlatih bersama saya dalam pasukan. Tetapi dengan keadaan Pogba saya tidak mempunyai sebarang idea mengenainya.”
Paul Pogba telah mengalami kecederaan hamstring pada awal perlawanan ketika bertemu FC Basel pada 12 September yang lalu yang menyaksikan beliau sudah terlepas 10 perlawanan Manchester United dalam semua pertandingan ketika ini.
Sebelum ini Pogba telah memuatnaik video-video yang melihatkan perkembangan positif dalam proses pemulihan kecederaannya di laman Instagram milik beliau.