Alvaro Morata berkongsi pengalaman beliau sejak menjadi pemain bola sepak. Dalam usia yang masih muda, banyak yang beliau sudah pelajari.
Pengurus elit
Beliau berbangga kerana berkesempatan bekerjasama dengan nama-nama besar dalam pengurusan bola sepak.
“Minggu lalu saya terbelek gambar persidangan jurulatih anjuran FIFA. Dan saya terfikir, saya sudah bermain di bawah Zinedine Zidane, Carlo Ancelotti, dan Jose Mourinho di Real Madrid.”
“Selepas itu, bermain di bawah Allegri di Juventus. Sekarang saya bermain di bawah Conte yang sebelum ini menandatangani saya ketika dia di Juventus. Jadi, hanya Klopp dan Guardiola sahaja yang saya masih belum merasa bermain di bawah mereka.”
Morata berkongsi kisah beliau ketika hari pertama di Chelsea.
“Pada awalnya, saya sedikit tertekan kerana tag harga itu memang agak mempengaruhi saya. Saya gagal menyempurnakan sepakan penalti ketika Perisai Komuniti.”
“Saya tahu saya harus berhadapan dengan banyak kritikan selepas itu. Saya berkerja dan terus berusaha untuk membuktikan yang pengkritik adalah salah tentang saya.”
Morata memberitahu yang Zidane mahukan beliau kekal di Real Madrid tetapi beliau meminta untuk ke Chelsea kerana mahu menjadi pemain utama dalam kesebelasan utama.
Itu penting untuk beliau yang turut memikirkan karier antarabangsa beliau. Beliau juga meminta kelab untuk mempertimbangkan tawaran Chelsea sahaja.
“Saya memberitahu Real Madrid yang saya hanya mahu ke Chelsea.”
“Musim lalu saya sendiri pernah bersembang dengan isteri saya. Saya cakap kepada dia, musim ini (2016/17) Chelsea akan juara. Dan ia benar berlaku. Jadi, kami perlu ulangi detik itu.”
Ketajaman kepala
Morata juga tersenyum dengan statistik jaringan dan bantuan gol beliau. 5 daripada gol ataupun bantuan gol beliau setakat ini adalah menggunakan kepala (3 gol dan 2 bantuan gol dengan menggunakan kepala).
“Saya tidak kisah pun kalau setiap minggu saya menjaringkan gol dengan kepala. Tidak kisah ia dari lutut ataupun punggung saya, gol tetap gol!”
Berlatih menanduk dengan Cristiano Ronaldo, Fernando Llorente.
“Di Real Madrid, saya memang berlatih untuk menajamkan kemahiran tandukan saya dengan Cristiano Ronaldo. Anda lihatlah dia (Ronaldo) melonjak dan menanduk bola, ‘spring’ dan kekuatan pada beliau adalah sangat menakutkan.”
“Di Juventus saya banyak belajar daripada Fernando Llorente cara mencari ruang serta melakukan tandukan yang tepat. Saya sukakan pertarungan fizikal. Minggu lalu saya berhadapan dengan pemain besar seperti Morgan dan Maguire.”
“Saya mulanya ingat saya tidak akan mampu bersaing dengan mereka untuk menanduk bola di udara. Tetapi Fabregas menghantar bola cantik dan saya dapat 1 gol. Namun kebanyakannya saya langsung tidak boleh melompat menentang mereka.”
“Anda kena bijak mencari ruang di celah-celah mereka. Anda kena bijak. Saya tidak risau sebab di Juve saya berlatih dengan Bonucci dan Chiellini setiap hari.”
Chiellini lagi keras daripada Pepe
“Berlatih dengan Bonucci dan Chiellini berbeza dengan berlatih dengan Pepe di Real Madrid. Chiellini di pusat latihan seperti gorila yang kelaparan apabila melihat saya.”
Sambil ketawa Morata menyatakan yang kerja Chiellini adalah berterusan menendang beliau di pusat latihan.
“Tendang, tendang dan tendang, itulah yang Chiellini lakukan ke atas saya. Pepe, pemain yang baik, walaupun dia nampak kasar, dia pun tidak menendang saya sebanya itu. ”
“Tetapi dia (Chiellini) taklah tendang sampai mencederakan saya. Chiellini pernah berkata dengan rakan lain, anda lihat budak ‘jambu’ dari Madrid ini, kita kena ajar dia keras sikit.”
“Mereka semua mentor yang sangat hebat dalam karier saya.”
Kemarau gol
“Saya sudah biasa dengan tekanan, di Juventus saya pernah mengalami kemarau gol selama 100 hari. Sebagai penyerang, anda tidak boleh terputus dan kering gol seperti itu. Anda perlu jaringkan gol!”
“Walaupun anda mencipta banyak peluang dan mencipta ruang kepada pemain lain, orang akan tetap menilai anda dari segi jumlah gol.”
“Pada saat saya kemarau gol ketika itu, saya menjadi bagai nak gila. Dalam fikiran anda hanyalah, ‘saya perlukan gol, saya perlukan gol’.”
“Semakin banyak anda berfikir semakin anda tertekan. Gol itu akan lebih mudah hadir jika anda tenang dan senyum di dalam padang.”
“Pada satu tahap saya terlebih analisis diri sendiri. Saya menganalisis situasi dan peluang yang saya gagal sempurnakan.”
“Walaupun kami menang, saya pulang ke rumah dan menonton semula perlawanan, saya beritahu isteri saya, ‘saya patut jaringkan itu tadi’.”
“Sampaikan saya menukar kereta, tukar potongan rambut, tukar but, dan macam-macam lagi, kononnya mahu mencari angin baru.”
“Namun sebenarnya, bilik persalinan banyak membantu saya. Kami berterus terang dan tiada bersembunyi. Itulah yang kami lakukan untuk memperbaiki diri.”
“Saya hari itu masih bercakap dengan Buffon dan bertukar jersi dengan beliau.”