Benajmin Mora & JDT bakal meneruskan misi mereka untuk mara jauh dalam saingan Piala AFC musim ini apabila bertandang ke Filipina untuk menentang Ceres Negros.
Sebelum ini mereka berjaya memenangi perlawanan tersebut dengan jaringan 3-2 di laman sendiri.
Walaupun menang, nyata jelas pasukan JDT masih lagi dalam keadaan yang belum selamat selepas melepaskan 2 gol yang cukup penting buat Ceres Negros sebagai jaringan di tempat lawan.
Oleh itu, pengendali JDT iaitu Benjamin Mora mahukan komitmen tinggi dari setiap anak-anak buah beliau menjelang perlawanan sukar di tempat lawan malam esok.
“Saya menuntut para pemain untuk memberikan sepenuh komitmen mereka untuk memenangi perlawanan ini.”
Menerusi laman JOHOR Southern Tigers, Mora berkata yang beliau akan memastikan barisan serangan beliau akan mengambil segala peluang ketika perlawanan getir itu esok.
Hal ini kerana di Larkin JDT mempunyai banyak peluang dan sepatutnya boleh menjaringkan lebih dari 3 gol yang mereka berjaya dapatkan di Larkin.
“Barisan serangan juga tidak boleh lagi terlepas peluang menjaringkan gol selepas beberapa percubaan yang sepatutnya menghasilkan gol tidak membuahkan hasil.”
Tak nak bertahan
Menurut Mora lagi, beliau tidak mahu mengamalkan corak permainan bertahan selepas menyaksikan tahap serangan dan keazaman pasukan lawan ketika di Larkin.
“Saya tidak mahu berada dalam keadaan selesa walaupun kami menang 3-2 tempoh hari kerana anda sendiri boleh lihat betapa pasukan lawan begitu agresif dan mampu menjaringkan gol di Larkin.”
“Saya juga tidak akan mengambil risiko untuk bertahan kerana pasukan lawan masih berpeluang untuk menggagalkan usaha kami.”
JDT akan bertemu dengan Ceres Negros di Pana-ad Park and Football Stadium dalam misi layak ke perlawanan akhir peringkat zon Asia Timur.
Pemenang antara perlawanan ini akan bertemu sama ada Home United (Singapura) atau Global FC (Filipina).