Mora Anggap Gaya Permainan Penang Rosak Keindahan Sebenar Bola Sepak

Pengendali Johor Darul Takzim (JDT) nyata kecewa dan tidak gemar dengan gaya permainan yang dipamerkan oleh lawan mereka, Penang semalam yang dilihat berkumpul di kawasan sendiri dan sering terbaring di atas padang sehingga mengganggu rentak permainan walaupun skuad Harimau Selatan itu mencipta kemenangan 1-0 di Stadium Sultan Ibrahim dalam aksi pertama Liga Super.

Jelas beliau, aksi yang ditampilkan oleh anak buah Tomas Trucha itu sepatutnya boleh beraksi dengan lebih positif dan bersifat terbuka, bukan hanya berkampung di kawasan sendiri dan mempraktikkan gaya ‘parkir bas’ sahaja selain kerap pemain mereka terbaring di atas padang yang membuatkan Mora agak sedih dengan suasana sedemikian.

“Sebagai pemain profesional beraksi di liga profesional, bukan sahaja JDT malah semua pasukan dalam liga utama negara ini harus tampil dengan corak permainan terbuka dan menghiburkan dan dari situ bola sepak Malaysia akan berkembang.

“Bukannya kerap melambatkan permainan dengan sering terbaring di padang dan mengamalkan corak permainan bertahan dan anda sendiri lihat sekurang-kurangnya lapan dan sembilan pemain Penang FC berada di kawasan kotak penalti.

“Jika ingin bermain secara bertahan tiada masalah, sebaliknya perlulah membuat serangan balas dan bermain secara terbuka dan itu adalah strategi taktikal tapi sepanjang 90 minit kami tidak bermain bola sepak yang sepatutnya,” katanya menerusi Harian Metro.

Dalam masa sama ketika ditanya pengendali dari Mexico itu mengenai tindakannya mengeluarkan Moussa Sidibe, tegas Mora gaya permainan terpaksa diubah selepas beliau menyedari pasukannya gagal untuk menembus masuk di bahagian tengah yang dilihat sangat kompak setelah Penang mengamalkan corak permainan bertahan di posisi tengah.

Selain itu, pemain tengah berpengaruh JDT iaitu Natxo Insa enggan mengulas dengan lebih mendalam mengenai situasi perlawanan semalam dan beliau menganggap pasukan pelawat mengamalkan taktikal dalam usaha memburu keputusan seri sekurangnya.

“Apapun yang mengecewakan adalah sikap pemain lawan yang kerap terbaring di padang sehingga pegawai fisioterapi mereka sering masuk ke padang dan ini menyebabkan sekurang-kurang tempoh 20 minit permainan hilang begitu sahaja,” jelas beliau.

Reaksi yang dinyatakan pasukan pelawat pula adalah sebaliknya apabila Trucha berkata apa yang berlaku di atas padang semalam adalah berpunca dari segi faktor kecergasan sehingga menyebabkan ramai pemain beliau yang terbaring atas padang.

“Mungkin juga pemain saya tidak bersedia dari aspek kecergasan dan ia permulaan saingan liga , sudah tentu rentak permainan yang berintensiti tinggi masih ada di kalangan pemain dan sebab itu mereka terbaring di padang.

“Bukan mudah untuk menentang JDT dengan corak permainan pantas mereka, pemain saya belum mampu untuk mengejar setiap pemain lawan yang begitu rakus memberi tekanan terhadap benteng kami tapi itu bukan alasan kami sengaja mahu memperlahankan rentak permainan.

“Aksi babak pertama kami mampu beri tekanan kepada JDT dan bertindak melakukan serang balas malah Abdul Azim (Rahim) ada peluang mencipta gol tapi gagal namun pada babak kedua pemain saya terlalu berada di bawah dan memberi ruang buat JDT menjaringkan gol,” kata pengendali Penang itu.

Sumber:
Harian Metro

Leave a Reply