Prestasi konsisten Kedah yang telah melakar lima kemenangan berturut-turut di pentas CIMB Liga Super tidak membimbangkan pengendali Pahang, Dollah Salleh, yang bersedia melakukan kejutan apabila kedua-dua pasukan itu bakal berentap di Stadium Darul Makmur, pada Sabtu.
Biarpun Pahang tidak berada di tahap terbaik ekoran kecederaan beberapa pemain importnya, Dollah masih menaruh harapan dengan skuad sedia ada akan meneruskan perjuangan skuad Tok Gajah dalam mengharungi baki tiga perlawanan CIMB Liga Super.
Tiga mata yang berjaya dipungut ketika bertemu Kedah akan mengesahkan Pahang kekal beraksi di CIMB Liga Super pada musim depan dengan skuad Tok Gajah buat masa kini berada di kedudukan ketujuh dengan memungut 10 mata.
“Saya tidak kisah dengan apa yang sedang dilalui Kedah kerana kami akan harungi apa sahaja dan siapa lawan kami, Pahang sentiasa bersedia.”
“Sama ada kami berjumpa Kedah, Felda atau PDRM sekali pun, kami tidak akan membeza-bezakan lawan dan semua perlawanan adalah sama buat saya.”
“Dalam kedudukan pasukan sekarang,saya masih percaya dengan pemain-pemain walaupun tidak nafikan buat masa ini saya terpaksa bergantung kepada sebahagian pemain muda.”
“Cuma saya bangga melihat peningkatan yang dipamerkan oleh mereka dalam beberapa perlawanan lalu dan saya yakin ia tidak jadi masalah besar kepada pasukan,” katanya.
Antara pemain yang dijangka tidak dapat diturunkan Dollah Salleh ialah penyerang utama, Dickson Nwakaeme selain keadaan seorang lagi pemain, Ivan Carlos masih 50-50 untuk turun beraksi membantu Pahang.
Selain itu, Gopi Rizqi digantung satu perlawanan ekoran mengutip tiga kad kuning manakala Herold Goulon dijangka boleh diturunkan Dollah bagi membantu barisan pertahanan.
“Jika Dickson ada bersama pasukan, saya mungkin boleh rasa lega sedikit untuk berjumpa Kedah tetapi dia memang tidak boleh bermain lagi dan saya belum pasti sampai bila.”
“Begitu juga dengan Ivan yang belum cergas dan buat masa ini mungkin Goulon dapat diturunkan.”
“Ini sahaja yang menjadi masalah kepada saya sekarang iaitu tidak dapat menurunkan barisan terbaik dalam beberapa perlawanan lalu dan harap semua pemain sudah boleh bersedia sebaik Piala Malaysia bermula,” katanya.
Pahang baharu meraih satu kemenangan selepas CIMB Liga Super kembali bersambung sejak 28 Ogos lalu iaitu ke atas PDRM pada 12 September lalu.
Selain itu, skuad Tok Gajah meraih keputusan seri 2-2 dengan Felda dan tewas 0-1 kepada UiTM FC serta 2-3 di tangan Johor Darul Ta’zim.
Kredit featured image: Pahang FA
Baca artikel lain dari kami mengenai Pahang: