Quantcast

BERITA

Mohammad Fayadh Bintang Baharu Kedah Dalam Pembikinan

Disebalik kejayaan Kedah menewaskan PKNS FC dengan jaringan 3-2 di Stadium Shah Alam, salah seorang pemain muda skuad Lang Merah sudah mula mencuri tumpuan peminat bola sepak tempatan.

Pemain yang dimaksudkan ialah Mohammd Fayadh Zukifli Amin yang dimasukkan pada separuh masa kedua dan berjaya menjaringkan gol pertamanya ketika Kedah ketinggalan 1-2 kepada PKNS FC.

Aksi licik beliau yang bijak memperdayakan pemain lawan dalam beberapa situasi sukar mendapat pujian daripada penyokong Kedah di media sosial sehingga digelar sebagai bakal pengganti Akhyar Rashid yang telah berhijrah ke Johor Darul Ta’zim (JDT).

Hal ini kerana corak permainan pemain yang berusia 21 tahun itu mempunyai persamaan dengan Akhyar yang turut memiliki kelebihan menerusi kemahiran individu.

Bagaimanapun, Fayadh tidak mahu para peminat bola sepak tempatan membandingkannya dengan Akhyar kerana perjalanannya dalam karier bola sepak masih jauh.

“Jangan bandingkan saya dengan Akhyar Rashid.”

“Kalau orang membandingkan saya dengan Akhyar, saya tidak begitu suka kerana dia dan saya berbeza. Saya tidak suka. Insya-Allah saya akan ikuti perjalanan dia tetapi masing-masing memiliki cara sendiri,” katanya dalam Stadium Astro.

Fayyadh dijulang oleh rakan sepasukan selepas menjaringkan gol penyamaan. FOTO: Kedah FA

Jaringan pertamanya itu telah memberikan semangat tambahan kepadanya untuk mempamerkan aksi yang lebih baik pada perlawanan yang akan datang.

Beliau juga bersyukur dapat peluang beraksi setelah kerap memanaskan bangku simpanan dan berharap penyokong Kedah mendoakan kejayaannya bersama pasukan.

“Saya sangat gembira kerana jarang beraksi. Apabila turun bermain, saya dapat menjaringkan gol. Syukur kepada Allah dan terima kasih kepada jurulatih kerana mempercayai saya. Begitu juga dengan rakan sepasukan dan penyokong Kedah.” ujarnya.