Sumbangan berkesan Mohamed Salah buat Liverpool dan Mesir telah menobatkannya selaku Pemain Terbaik Afrika BBC 2018.
Kejayaan tersebut telah mengulangi pencapaian yang sama diraih pemain berusia 26 tahun itu pada 2017.
Mohamed Salah berjaya menewaskan rakan sepasukannya di Liverpool, Sadio Mane dan juga pertahanan kental SS Napoli, Kalidou Koulibaly.
Mane dan Koulibaly merupakan pemain skuad kebangsaan Senegal.
Dua lagi calon yang gagal untuk menyaingi Salah bagi meraih anugerah ini adalah pemain Maghribi, Medhi Benatia dan pemain tengah Ghana, Thomas Partey.
Bercakap kepada BBC selepas kemenangan tersebut, Salah ternyata gembira dengan pengiktirafan yang diterimanya itu.
”Ia merupakan perasaan yang cukup hebat. Saya mahu memenanginya sekali lagi pada tahun hadapan.”
”Saya merasakan terdapat banyak detik hebat yang berlaku pada 2018. Perlawanan menentang Tottenham adalah paling utama dan bertemu AS Roma juga adalah sesuatu yang sukar untuk dipercayai.”
”Saya menjaringkan gol, membantu pasukan mendapatkan mata untuk berada di puncak liga dan ia sentiasa menjadi satu perasaan yang cukup hebat.”
Antara pemain yang pernah memenangi anugerah ini adalah seperti Didier Drogba, Yaya Toure, Michael Essien, Riyad Mahrez dan Jay-Jay Okocha.