Liverpool menghadapi saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini dengan cukup membanggakan.
Di sepanjang tempoh saingan, kelab Merseyside itu saling kejar mengejar kedudukan nombor satu dengan pencabar terkuat, Manchester City sebelum juara saingan ditentukan pada perlawanan terakhir.
Namun, tuah tidak menyebelahi Liverpool apabila kelab itu mengakhiri saingan dikedudukan kedua – mengumpul 97 mata.
Bagi penyerang Liverpool, Mohamed Salah, beliau tidak menjadikan keputusan ‘nombor dua’ itu sebagai satu kegagalan bagi pasukannya.
Beliau bagaimanapun bertekad untuk membawa pasukan tampil lebih baik lagi dalam persaingan merebut trofi pada musim depan.
“Kami melakukan segalanya musim ini. Kami hanya kalah pada satu perlawanan,” ujar Salah pada Sky Sports.
“Kami mendapat 97 mata. Saya mengucapkan tahniah kepada Manchester City dan kami akan berjuang lagi musim depan untuk merebut trofi ini.”
Liga Juara-Juara
Bercakap mengenai perjalanan Liverpool di pentas Liga Juara-Juara, pemain kelahiran Messi itu berkata, beliau begitu kagum dengan dengan segala hal yang berlaku kepada pasukan sehingga berjaya melayakkan diri ke perlawanan akhir dua tahun berturut-turut.
Beliau percaya, Liverpool kali ini berpeluang mengubati kekecewaan musim lalu dengan menjulang trofi kejuaraan yang kali terakhir pernah dilakukan pada tahun 2005.
“[Kemenangan] itu luar biasa [lawan Barcelona]. Musim lalu kami berjaya ke perlawanan akhir dengan menewaskan AS Roma ditempat lawan, jadi kami tidak boleh menikmatinya seperti di Anfield. Sekarang kami mara dengan bermain di tempat kami, jadi rasanya itu luar biasa.”
“Dua kali berturut-turut kami menjangkau ke perlawanan akhir yang sangat hebat. Saya harap kami boleh memenangi musim ini,” kata Salah menerusi Liverpoolfc.
Mohamed Salah turut menamatkan musim ini dengan baik. Beliau berjaya mempertahankan gelaran kasut emas yang telah dimenanginya musim lalu.
Musim ini, beliau mengumpul 22 gol, bersamaan dengan jumlah jaringan yang dihasilkan oleh Sadio Mane dan Pierre-Emerick Aubameyang.