Mohamed Salah Kini Merupakan Penerima Gaji Tertinggi Dalam Sejarah Liverpool

Mohamed Salah kini merupakan penerima gaji tertinggi dalam sejarah Liverpool selepas beliau menandatangani kontrak baru bernilai £350,000 seminggu.

Pemain berusia 30 tahun itu mengakhiri segala keraguan berkait masa depan beliau di Anfield, dengan menandatangani lanjutan kontrak selama tiga tahun.

Hal itu telah disahkan sendiri oleh Liverpool pada malam semalam, seterusnya menambah keyakinan peminat yang sebelum ini bimbang mereka tidak akan mampu melihat aksi Salah bersama The Reds lagi.

Kontrak asal Mohamed Salah bersama Liverpool sepatutnya tamat pada musim panas akan datang, dan ramai yang sempat berfikir beliau akan meninggalkan kelab sebagai pemain bebas ejen.

Rundingan antara Liverpool dan ejen Salah, Ramy Abbas sudah berlangsung sejak Disember lalu lagi, namun bintang Mesir itu dikatakan tidak bersetuju dengan tawaran yang ditawarkan oleh kelab.

Sejak tiba dari Roma pada tahun 2017 yang lalu, Salah sudah berjaya menjaringkan 156 gol dari 254 penampilan untuk Liverpool.

Beliau turut berjaya membantu The Reds memenangi gelaran Champions League, Super Cup, FIFA Club World Cup, Premier League, Carabao Cup dan FA Cup.

Sebelum Salah, Virgil van Dijk merupakan penerima gaji tertinggi di Anfield dengan beliau dilaporkan menerima sehingga £220,000 seminggu.

Kontrak baru Mo Salah menjadikan beliau kini sebagai penerima gaji tertinggi dalam sejarah kelab.

Pemain sayap itu pada ketika ini sedang bercuti sebelum kembali menyertai skuad Liverpool untuk aksi pra-musim.

Beliau mendedahkan kepada laman rasmi kelab bahawa:

“Ia memerlukan sedikit masa, saya rasa, untuk memperbaharui kontrak, tapi sekarang semuanya sudah selesai jadi kita perlu beri tumpuan untuk hal-hal seterusnya.”

“Saya rasa kamu boleh nampak dalam tempoh lima ke enam tahun sebelum ini, kelab sentiasa menunjukkan peningkatan. Musim lalu kami sangat hampir untuk menang empat, tapi malangnya pada minggu terakhir musim kami terlepas dua Piala.”

“Kita juga ada pemain baru. Kita cuma perlu terus bekerja keras, ada vision yang bagus, sentiasa positif dan berikan segala-galanya sekali lagi.”

Jurgen Klopp telah menandatangani Diogo Jota dan Luis Diaz sejak dua tahun kebelakangan ini dengan mereka pada musim ini turut berjaya mendapatkan pemain baru untuk memantapkan lagi skuad sedia ada.

Kehadiran pemain seperti Darwin Nunez, Fabio Carvalho dan Calvin Ramsay diharapkan akan mampu menambah baik kualiti yang ada pada skuad kendalian Jurgen Klopp itu.

Leave a Reply