Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) sebentar tadi telah mengumumkan individu yang baru menggalas tugasan sebagai Setiausaha Kehormat PAFA. Beliau ialah Mohamad Azlin Mohd Nadzri.
Berdasarkan kenyataan ringkas oleh PAFA, Mohamad Azlin sudah pun memulakan tugasan beliau pada awal Disember 2019.
Ianya sebahagian daripada sedikit perubahan di pucuk pimpinan PAFA dalam persiapan bagi musim baru.
PAFA dalam kenyataan rasminya berkata: “Mohamad Azlin Mohamad Nadzri, Setiausaha Kehormat PAFA yang baharu.”
“Tahniah dan selamat menjalankan tugas kepada En. Mohamad Azlin Mohd Nadzri di atas pelantikan sebagai Setiausaha Kehormat PAFA yang baharu. Beliau telah pun memulakan tugas bermula dari awal Disember ini.”
“Warga PAFA dan para pemain ingin mengucapkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada En. Tajul Hasnan Omar yang menamatkan tugas sebagai Setiauaha Kehormat PAFA pada hujung bulan lepas.”
MOHAMAD AZLIN MOHD NADZRI, SETIAUSAHA KEHORMAT PAFA YANG BAHARU
Tahniah dan selamat menjalankan tugas kepada En. Mohamad Azlin Mohd Nadzri di atas pelantikan sebagai Setiausaha Kehormat PAFA yang baharu. Beliau telah pun memulakan tugas bermula dari awal Disember ini. pic.twitter.com/xJkOxurEC5
— Perak FC (@peraktbgmy) December 18, 2019
Perak masih mengekalkan ketua jurulatih mereka, Mehmet Durakovic bagi musim akan datang. Namun begitu Perak kehilangan beberapa pemain penting termasuk Brendan Gan.
Pemain bek tengah kebangsaan Shahrul Saad menyatakan rasa berat hati beliau melihat pemergian Brendan Gan dan Nor Hakim Hassan.
Shahrul berkata: “Mereka lebih daripada rakan sepasukan. Kami berkongsi segala pengalaman bersama. Sebagaimana yang diterapkan oleh Coach Mehmed [Durakovic], kami semua adalah ahli keluarga.
“Sangat sukar untuk melihat mereka meninggalkan pasukan, tetapi saya percaya, yang hilang akan berganti. Saya mendoakan yang terbaik buat mereka,” ujar pertahanan berusia 26 tahun itu lagi.
Setakat ini, belum ada pengumuman rasmi pemain baharu sebagai pengganti untuk posisi yang ditinggalkan mereka selain Guilherme de Paula yang merupakan penyerang. Dijangkakan, bekas kapten PKNP FC, Hafiz Ramdan akan mengambil tempat Nor Hakim dan Kenny Pallraj, mungkin bakal bergandingan bersama Leandro.