Penyerang sensasi Liverpool, Mohamed Salah telah dinobatkan sebagai pemenang anugerah Professional Footballers’ Association Player of the Year (POTY) bagi musim 2017-18.
Kemenangan ini turut menyaksikan Salah menafikan cabaran lima calon lain, iaitu Kevin de Bruyne, Harry Kane, Leroy Sane, David Silva dan David de Gea dalam anugerah yang ditentukan sendiri di kalangan pemain profesional.
Pemain Manchester City, Sane dinobatkan sebagai pemenang untuk kategori pemain muda tahunan, manakala Fran Kirby daripada Chelsea menjuarai anugerah kategori bola sepak wanita.
Bagi Salah, kemenangan di dalam anugerah ini membawa makna tersendiri buat beliau. Apatah lagi ianya dilakukan pada musim pertama bersama Liverpool sejak tiba daripada AS Roma pada Julai lalu.
“Ia adalah satu penghormatan kerana ia diundi oleh rakan pemain. Sudah tentu saya sangat gembiran dan berbangga,” ujar Salah.
“Saya tidak mendapat peluang ketika bersama Chelsea. Dan saya tahu akan kembali ke England untuk membuktikan kepada semua kemampuan saya. Setelah saya pergi, dan kini kembali ke England sebagai pemain yang berbeza. Untuk itu saya sangat gembira dan berbangga.”
Pengurus Liverpool, Jurge Klopp berkata beliau sangat gembira kerana berpeluang menjadi pembimbing kepada Salah dan menganggap ini adalah pencapaian yang mengkagumkan.
“Ia adalah pengalaman yang hebat buat semua pihak di Liverpool tetapi kita masih ada beberapa perlawanan penting untuk dilalui pada musim ini. Oleh itu, ambillah piala POTY itu, dan pulanglah ke Anfield. Kita ada perlawanan untuk dihadapi pada Selasa!,” seloroh Klopp kepada Salah.
Bekas penyerang West Brom dan England, Cyrille Regis yang meninggal pada Januari lalu pada usia 59 tahun dianugerahkan dengan anugerah khas PFA dalam majlis penuh gilang gemilang yang diadakan di Grosvenor House Hotel, London.
Bekas kapten pasukan bola sepak wanita England, Casey Stoney yang bersara daripada bola sepak pada tahun ini, menerima anugerah PFA untuk pencapaian khas.