Indonesia secara rasminya telah pun menamatkan kerjasama mereka bersama bekas jurulatih berpengaruh dari Korea Selatan iaitu Shin Tae-yong, setelah pelbagai kejayaan telah dikecapi Sang Garuda sebelum ini bersama pengendali berkenaan.
Keputusan ini dianggap sebagai salah satu kejutan tidak dijangka para peminat bola sepak Asia, tatkala Shin dilihat sedang berada pada trek terbaik untuk memacu pasukan itu melangkah lebih jauh di pentas antarabangsa.
Malah, peluang Indonesia bawah kendalian bekas jurulatih skuad kebangsaan Korea Selatan itu juga dilihat masih terbuka selain banyak kemajuan dicatat mereka terutama daripada segi corak permainan.
“Hubungan kita [PSSI dan Shin Taeyong] sudah berakhir”
Thank you for your service, coach Shin 🇮🇩🥀
[PSSI TV] pic.twitter.com/aqcmYxpGuj
— Strootsy (@strootsys) January 6, 2025
Walaupun begitu, jodoh Shin bersama Indonesia sudah pun berakhir dengan Ketua Umum Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) iaitu Erick Thohir menyatakan sudah pun mempunyai calon pengganti.
Untuk rekod, Shin menyertai skuad kebangsaan Indonesia pada penghujung tahun 2019 dengan membawa harapan besar para peminat sebelum ia tamat pada awal 2025.
Beberapa pertikaian di media sosial juga timbul dengan ada peminat masih menaruh harapan tinggi kepada Shin serta kecewa selepas beliau tidak lagi bersama Sang Garuda.
Walaupun sudah memiliki calon terbaharu, Erick masih lagi belum menyatakan siapa individu tersebut serta merahsiakan segala ciri-ciri jurulatih akan datang bersama Indonesia bagi membawa misi ke Piala Dunia 2026.
“Calon pengganti Shin untuk posisi utama kejurulatihan skuad kebangsaan sudah pun kita dapatkan. Pada 11 Januari ini beliau akan tiba di Indonesia dan keesokan harinya baru kita umumkan secara rasmi,” ujar Erick menerusi perkongsian Bola.com.
Yang pasti, jurulatih baharu itu memiliki cabaran cukup getir untuk memastikan Indonesia melayakkan diri ke saingan Piala Dunia 2026 menerusi sentuhan beliau selaku pengganti Shin seleoas ini.
“Sasaran utama kita adalah untuk melayakkan diri ke Piala Dunia 2026. Di sini saya ingin menegaskan pasukan kebangsaan milik Indonesia dan bukan siapa-siapa.
“Sang Garuda bukan milik Erick Thohir, PSSI, atau jurulatih sekali pun. Ia milik Indonesia,” kata Erick dengan sangat tegas.
✅ RESMI : PSSI berhentikan Shin Tae-yong dari jabatannya sebagai pelatih timnas Indonesia. 😭😭😭
Gamsahamnida coach Shin.. 🙏🏼 pic.twitter.com/Ybsfk6pM68
— Extra Time Indonesia (@idextratime) January 6, 2025
Kedudukan semasa menyaksikan Indonesia kini berada di pusingan ketiga bagi siri kelayakan Piala Dunia 2026 untuk Zon Asia bersama aksi menyakinkan.
Daripada enam perlawanan diharungi, mereka telah meraih satu kemenangan, tiga keputusan seri serta dua kekalahan untuk mengumpul enam mata secara keseluruhan dan berada di tangga ketiga Kumpulan C bersama Jepun, Australia, Arab Saudi, Bahrain, serta China.