Kelantan The Red Warriors (TRW) bakal menghadapi aksi Liga Super hari ini untuk melayan kunjungan Sri Pahang di Stadium Sultan Muhammad ke-IV dalam misi untuk kembali mendapatkan mata selepas melalui pelbagai kesukaran.
Musim ini menyaksikan Kelantan TRW tampil selaku pasukan paling banyak mencipta kontroversi menerusi prestasi permainan di atas padang tidak menyakinkan, serta isu dalaman.
Malah, ini menjadi kali ketiga pasukan tersebut mengikat pengendali baharu selepas pertama kali mereka melantik jurulatih dari Korea Selatan iaitu Choi Moon-sik serta Frank Bernhardt.
Terbaharu, pasukan ini telah pun melantik pengendali berpengalaman dari Argentina iaitu Angel Alfredo Vera untuk mrngendalikan Kelantan TRW dan bakal menghadapi tugas pertama menentang Sri Pahang.
Untuk rekod, Angel sebelum ini mempunyai pengalaman sangat luas di Indonesia untuk mengendalikan pelbagai kelab tempatan sana serta mempunyao reputasi tersendiri untuk dibanggakan.
Antara kejayaan yang menaikkan nama pengendali tersebut pastinya ketika Angel membantu Persebaya Surabaya untuk meraih gelaran juara Liga 2 Indonesia dan menaikkan kembali mutu permainan pasukan tersebut di saingan divisyen teratas pada tahun seterusnya.
Musim lalu beliau telah mengendalikan Persita Tangerang dan membawa pasukan tersebut berada di tangga sembilan carta Liga 1 Indonesia hasil 13 kemenangan daripada 34 perlawanan dilalui.
Bersama Kelantan TRW, Angel memiliki misi tersendiri untuk menjulang pasukan tersebut menjadi lebih baik berbanding sebelum ini dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).
Selain Angel, Kelantan TRW turut mengikat jurulatih kecergasan baharu iaitu Gonzalez Didi untuk meningkatkan kualiti setiap pemain di atas padang pada hari perlawanan.
Menentang Sri Pahang bukannya sesuatu yang mudah kerana pasukan ini juga berada dalam momentum tersendiri sehingga kini bawah kendalian Fandi Ahmad.
Tampil dengan barisan pemain berkualiti di segenap posisi menjadikan mereka kini bersedia untuk cuba mendapatkan tiga mata penting di gelanggang lawan serta mengukuhkan kedudukan semasa dalam carta liga.
Walaupun begitu, pastinya Fandi berwaspada dengan keadaan lawan yang mungkin akan tampil dengan kejutan menerusi sentuhan daripada pengendali baharu mereka yang berpengalaman.
Malah, beraksi di laman sendiri juga tampak sebagai suatu kelebihan besar buat Kelantan TRW untuk mendapat sorakan padu daripada para penyokong sekali gus menaikkan motivasi buat para pemain.