Penang kini boleh dianggap berada dalam keadaan sangat getir dalam saingan Piala Malaysia 2023, selepas berkemungkinan bakal tersingkir lebih awal di tangan Kuala Lumpur City (KL City).
Apa tidaknya, Penang sebelum itu tampil dengan sangat longlai sejak perlawanan pertama mereka di laman sendiri selepas mencatat kekalahan besar 0-4 kepada skuad kendalian Nenad Bacina walaupun berakdi di laman sendiri.
Walaupun berkelebihan di laman sendiri, Penang seolah tidak tahu untuk mengawal tempo permainan pantas dicipta lawan dengan lebih banyak bertahan di kubu sendiri berbanding untuk mencipta serangan.
Apa yang mengecewakan para penyokong Penang mengenai perlawanan tersebut pastinya terarah kepada benteng pertahanan pasukan tersebut dianggap terlalu rapuh.
Ianya dibuktikan selepas gawang Penang telah pun dibocori sebanyak tiga kali hanya untuk aksi separuh masa pertama sebelum pelawat meledak jaringan keempat untuk aksi babak kedua perlawanan.
Pastinya isu kelemahan di posisi tersebut menjadi sesuatu yang sangat merisaukan para kejurulatihan Penang kini untuk memastikan segalanya dapat diperbaiki semula.
Bagi aksi malam ini, satu lagi tugas berat bakal menanti Chong Yee Fatt serta para pemain kerana Penang bakal berkunjung ke tempat lawan untuk aksi timbal balik.
Jika dilihat peluang atas kertas, segalanya kini menjadi milik KL City yang sudah pun boleh dikatakan sebelah kaki untuk ke pusingan suku akhir.
Namun, Penang masih berpeluang untuk mencipta kejutan jika mereka memperbaiki aspek kerapuhan di posisi pertahanan serta meningkatkan lagi kreativiti di bahagian serangan.
Musim ini menyaksikan Penang sekali lagi tampil dengan serba tidak menjadi walaupun pelbagai rombakan sudah dibuat di segenap posisi untuk menjadi sebagai salah satu pasukan pencabar.
Walaupun Penang ada membuat beberapa perubahan baharu di jendela perpindahan kedua ini dengan termasuk menandatangani khidmat penyerang baharu, impak yang ditinggalkan masih belum dirasai.
Untuk KL City pula, momentum mereka kini berada dalam keadaan kurang memuaskan selepas merekodkan dua kali kekalahan berturut-turut selepas mencatat kemenangan besar ke atas Penang.
Sudah tentu Nenad Bacina enggan menyaksikan skuad kendaliannya terus dihantui isu kekalahan dengan aksi menentang Penang ini menjadi medan terbaik untuk kebangkitan semula pasukan tersebut.